MALAYSIA
Dua beradik ditemukan berpelukan dalam kebakaran rumah dua tingkat
ALOR SETAR: Dua kanak-kanak nyaris maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Seri Kota, di sini, pada Ahad.
Ringkasan AI
- Dua kanak-kanak berusia 4 dan 5 tahun nyaris maut dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Seri Kota, namun berjaya diselamatkan anggota bomba dalam keadaan berpelukan di bilik tingkat atas.
- Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana membawa dua anak lain ke klinik, manakala bapa keluar bekerja; abang mangsa sempat keluar meminta bantuan.
- Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta dan lapan motosikal, sementara punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Ibu mangsa, Siti Norziana 23, berkata ketika kejadian dia membawa dua anaknya berusia 2 dan 3 tahun yang menghidap Talasemia ke sebuah klinik kerajaan, di sini.
“Ketika itu saya tinggal tiga anak yang lain di rumah sementara suami Mohd Hilmi, 20, keluar ke tempat kerjanya yang terletak tidak jauh dari rumah.
“Tidak lama selepas itu saya menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumah saya sedang terbakar. Saya dalam keadaan panik terus menghubungi suami dan bergegas pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.16 pagi, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi.
"Sebaik tiba anggota dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak terperangkap di tingkat atas rumah.
“Tindakan pantas anggota dengan menggunakan pakaian serta peralatan khas kebakaran terus masuk ke dalam rumah dan berjaya menemui dua beradik dalam keadaan berpelukan di dalam bilik di tingkat atas rumah,” katanya.

Wan Azizul berkata, turut musnah dalam kebakaran sebuah kereta Proton Wira dan lapan buah motosikal.
Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami