JERAM: Seorang jurutera berpengalaman membuktikan bahawa pelancongan desa mampu menjadi pemangkin ekonomi komuniti apabila inisiatif yang dibangunkannya, Nusantara Village, semakin mendapat perhatian sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Terletak lebih 50 kilometer dari Kuala Lumpur, inap desa di Kampung Bukit Hijau, Jeram itu menawarkan suasana desa dengan sentuhan moden, termasuk kemudahan kolam renang, taman tema air mini, serta pelbagai jenis penginapan yang memenuhi keperluan pelancong berkeluarga.
Menurut pengusahanya, Fakhrul Nazhi Hanaffi, ramai pelancong domestik dan luar negara sebenarnya mencari pengalaman percutian berkonsepkan desa tetapi masih mahukan tahap keselesaan yang tinggi.
Jurutera struktur berusia 46 tahun itu memanfaatkan lebih 16 tahun pengalaman dalam sektor kejuruteraan pembinaan untuk membangunkan model pelancongan desa berteraskan komuniti.
Fokus utama pembangunan Nusantara Village merangkumi penyediaan bilik selesa, tandas bersih dan juadah tradisional yang mampu mengembalikan nostalgia kehidupan kampung.
Walaupun sebahagian penginapan berbentuk rumah tradisional kayu, semua unit tetap dilengkapi kemudahan setanding resort bagi memastikan keselesaan tetam
"Nilai estetika turut diberi perhatian agar pengunjung mampu merakam foto menarik di setiap sudut, seiring trend perkongsian di media sosial," kata Fakhrul.
Mengulas potensi pasaran, Fakhrul berkata, fenomena orang ramai sanggup menunggu di restoran popular hanya untuk menikmati masakan kampung membuktikan permintaan tinggi terhadap konsep tersebut.
Selain menyediakan peluang pekerjaan, pihaknya turut membeli bahan mentah seperti ikan dan sayur daripada penduduk Kampung Bukit Hijau, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Sempena Ramadan, Nusantara Village turut menawarkan Bufet Ramadan menampilkan hidangan tradisional seperti siput sedut masak lemak, asam pedas, dan gulai tempoyak ikan patin. Kuih-muih tradisional pula dibekalkan sepenuhnya oleh penduduk kampung.
Selain hospitaliti dan makanan, aspek eko-pelancongan turut menjadi elemen utama melalui pembangunan ladang “Golden Melon” hidroponik, yang memberi pendedahan kepada tetamu mengenai pertanian moden, keselamatan makanan dan nilai komersial hasil tempatan.
Nusantara Village turut menyediakan dapur pizza berinspirasikan cita rasa tempatan sebagai tarikan tambahan.
Fakhrul yang juga bapa kepada enam anak turut dibantu isterinya, Farah Wahida Othman, 46, selaku Pengurus Pentadbiran dan Kewangan.
Selain di Jeram, pasangan itu turut mengendalikan beberapa inap desa di Setia Alam, Batu Pahat dan Muar, tetap mengekalkan fokus utama terhadap keselesaan tetamu.
Katanya, Malaysia memiliki potensi besar menawarkan pengalaman pelancongan yang setara dengan destinasi luar negara, dan usaha mempromosi percutian domestik perlu diperkasa bagi mengurangkan trend rakyat bercuti di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.