Skip to main content

Malaysia

15 jelitawan rebut takhta Miss Universe Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, 9 Sept - 13 finalis Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 bergambar pada sidang media yang diadakan di sini hari ini. Presiden Ratu Prestigious Event Management (RPEM) merangkap Pengarah Nasional Miss Universe Malaysia (MUM), Ayu Omar pada sidang media itu berkata senarai 13 finalis itu dipilih menerusi panel juri profesional hasil sesi uji bakat fizikal dan dalam talian pada Ogos lepas, manakala dua lagi peserta akan diumumkan dalam masa terdekat. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ratu Prestigious Event Management (RPEM) hari ini memperkenalkan 13 daripada 15 finalis yang akan bersaing merebut gelaran Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 pada awal Oktober depan. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ratu Prestigious Event Management (RPEM) hari ini memperkenalkan 13 daripada 15 finalis yang akan bersaing merebut gelaran Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 pada awal Oktober depan.

Presiden RPEM merangkap Pengarah Nasional MUM Ayu Omar berkata dua lagi peserta akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mereka yang terpilih ialah Wenn Sin, 31; Shawn, 22; Shalini Devi, 29; Sapphire Wong, 33; Preevena, 25; K Pratiba, 27; Khai Chin, 30; Eunice Wong, 37; Emanuelle, 31; Diana Charles, 39; Desaeny, 34; Clarysse, 25 dan Amreet, 30.

Menurut Ayu, kesemua finalis akan menjalani program intensif enam hari merangkumi bengkel pengucapan awam dan pembangunan diri sebagai persiapan ke pentas antarabangsa.

Mengangkat tema "Legacy Reimagined", Ayu menjelaskan pertandingan kali ini juga ada kelainan kerana dibuka kepada wanita berusia 21 hingga 50 tahun.

"Pendekatan inklusif ini mencerminkan pegangan RPEM bahawa kecantikan sebenar tidak hanya diukur melalui usia dan penampilan fizikal, tetapi turut terserlah menerusi kematangan, kekuatan jiwa dan keupayaan memberi inspirasi kepada masyarakat," katanya pada sidang media pengenalan finalis, di sini pada Rabu.

Seorang daripada finalis, Amreet berkata penyertaannya didorong oleh hasrat membina semula keyakinan diri serta menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat selepas melalui komplikasi ketika melahirkan anak sulungnya.

"Saya berasa sangat ‘down’. Selepas tamat tempoh berpantang, saya mahu dapatkan balik keyakinan diri dan melakukan apa yang saya hajati, dan hari ini saya berada di sini," katanya yang merupakan seorang guru.

Bagi Emanuelle pula, keputusannya menyertai MUM 2026 didorong oleh minat yang mendalam terhadap cabaran baharu serta keinginan untuk terus berkembang.

Bekas atlet renang berirama negara serta pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali itu menganggap pentas berkenaan sebagai satu peluang untuk beliau membawa disiplin tinggi serta semangat kesukanan ke dunia peragaan.

"Saya sentiasa sukakan cabaran. Saya pernah mengembara, bekerja di pelbagai lokasi dan bertemu ramai orang. Apabila peluang ini muncul, saya fikir saya perlu merebutnya sekarang," katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga anak, Sapphire Wong berkata menerusi penyertaannya dalam pertandingan tersebut, beliau mahu menggalakkan golongan ibu agar mengejar impian tanpa mengira batas usia atau status perkahwinan.

Suri rumah dan model sambilan yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri peragaan itu mahu membuktikan wanita mampu melangkah dari rumah ke pentas antarabangsa sekiranya mempunyai keberanian dan kesungguhan.

Minggu Pertandingan (Pageant Week) MUM 2026 akan bermula pada 29 Sept ini, diikuti ‘Preliminary Competition’ pada 30 Sept, manakala malam kemuncak bakal berlangsung pada 2 Okt depan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement