Skip to main content

Malaysia

Baung salai angkat nama Linggi, resipi orang lama jadi buruan

PORT DICKSON, 22 Julai -- Pemilik Warung Dayang Salai D’Linggi, Rozianah Ahmad, 57, menyiapkan hidangan ikan baung salai ketika ditemui fotoBernama baru-baru ini.  Kuah kuning keemasan yang pekat menyelimuti isi baung salai yang lembut, dengan rasa lemak santan segar, pedas cili api kampung serta aroma daun kesum berpadu menghasilkan hidangan yang cukup membuka selera.  Aroma salai yang masih melekat pada isi ikan memberikan cita rasa tersendiri kepada masak lemak cili api yang diwarisi daripada resipi oran
Rozianah menyiapkan hidangan ikan baung salai ketika ditemui fotoBernama baru-baru ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

PORT DICKSON: Negeri Sembilan lazimnya terkenal dengan daging dan itik salai, namun kini terdapat satu menu baharu yang semakin popular termasuk dalam kalangan pengunjung sekiranya singgah di negeri beradat ini.

Baung salai mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, namun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, hidangan itu antara makanan tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat setempat.

Kuah kuning keemasan yang pekat menyelaputi isi baung salai yang lembut dan pejal, manakala gabungan rasa lemak santan segar, kepedasan cili api kampung, kunyit hidup, air perahan limau, asam keping dan haruman daun kesum menjadikan setiap suapan begitu menyelerakan.

Keistimewaannya turut terletak pada aroma salai yang meresap dalam isi ikan, menghasilkan cita rasa yang unik serta menyerlahkan keenakan resipi turun-temurun masyarakat Linggi yang terus dipelihara hingga kini.

Keenakan itulah yang membawa pengunjung dari seluruh pelosok negara ke Warung Dayang Salai D’Linggi, malah ada yang sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer semata-mata mahu menikmati hidangan ikan air tawar itu.

“Setiap meja mesti ada gulai baung, walaupun mereka ambil daging salai, ayam salai atau keli salai, gulai baung tetap ada... dah makan baung, barulah boleh balik,” kata pemilik warung itu, Rozianah Ahmad, 57, ketika ditemui Bernama.

Rozianah yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam dunia masakan berkata sekitar 80 kilogram baung diperlukan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan dan jumlah itu boleh meningkat pada hujung minggu susulan kehadiran lebih ramai pengunjung.

Bagi anak jati Linggi itu, pemilihan baung sebagai ‘hero’ dalam perniagaannya bukan semata-mata mahu tampil berbeza, sebaliknya ikan berkenaan cukup dekat dengan kehidupan masyarakat setempat yang sejak turun-temurun mengenali kekayaan hasil Sungai Linggi.

“Linggi memang terkenal dengan baung, udang galah, keli dan lampam. Jadi saya ambil peluang untuk menaikkan gulai baung ini dan resipinya pula resipi orang Linggi, resipi orang tua dulu-dulu,” katanya.

Beliau berkata menghasilkan semangkuk gulai baung yang sempurna bukan sekadar mencampurkan ramuan semata, sebaliknya menuntut ketelitian dalam setiap proses penyediaan, bermula dengan membersihkan lendir ikan sebelum menyalainya pada jarak api yang sesuai agar isinya kekal lembut, berjus dan tidak terlalu kering.

“Ikan baung ini kelebihannya ialah pada isi yang sangat halus dan sedap. Apabila kita olah menjadi masak lemak cili api, rasanya lagi sedap tetapi cara masak kita kena betul kerana kalau ikan segar sekali pun tetapi cara masaknya tidak betul, rasanya pun tidak menjadi,” katanya.

Bagi memastikan pelanggan menikmati rasa yang sama pada setiap kunjungan, gulai dimasak dalam kuantiti kecil secara berulang sepanjang hari, selain perlu menggunakan santan segar.

Daripada hidangan yang pada awalnya hanya dekat dengan selera masyarakat setempat, Rozianah tidak menyangka resipi orang lama itu akhirnya menemukan peminat dari jauh selepas gulai baungnya mula mendapat perhatian menerusi media sosial kira-kira empat tahun lepas.

“Dulu perniagaan kita kecil-kecilan sahaja, zaman itu belum ada viral, tetapi bila kita mula tularkan gulai ikan baung, nampaknya meletup dan rupanya ramai peminat baung di luar sana,” katanya.

Rozianah berharap gulai baung salai akan terus menjadi antara hidangan yang mengangkat nama Linggi, sekali gus memastikan resipi warisan orang lama terus dikenali dan dinikmati generasi akan datang.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement