Skip to main content

Gaya Hidup

Diabetes bukan sekadar isu berat badan, kata perunding prestasi

Sumber: Instagram/Murad Zaidi
Murad (kiri) menjelaskan sebelum seseorang disahkan menghidap diabetes, tubuh kebiasaannya menunjukkan beberapa tanda amaran awal termasuk pertambahan lemak di bahagian abdomen dan cepat berasa letih selepas makan - Foto fail
Advertisement

DIABETES tidak seharusnya dilihat hanya sebagai masalah berkaitan berat badan atau penampilan fizikal, sebaliknya merupakan petunjuk kepada gangguan kesihatan metabolik yang lebih menyeluruh.

Pakar transformasi dan perunding prestasi tinggi, Murad Zaidi berpandangan ramai individu masih mengaitkan kesihatan dengan perubahan bentuk badan semata-mata, sedangkan pelbagai masalah dalaman mungkin telah berlaku jauh lebih awal tanpa disedari.

Menurutnya, antara petunjuk awal yang sering diabaikan termasuk paras gula darah yang tidak stabil, rintangan insulin, gangguan tidur, tekanan kronik serta kemerosotan tahap tenaga harian.

“Ramai menyangka diabetes bermula apabila seseorang menerima diagnosis daripada doktor. Hakikatnya, diagnosis itu lazimnya hanya menandakan masalah yang telah lama berkembang dalam tubuh akhirnya berjaya dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Murad menjelaskan sebelum seseorang disahkan menghidap diabetes, tubuh kebiasaannya menunjukkan beberapa tanda amaran awal seperti pertambahan lemak di bahagian abdomen, cepat berasa letih selepas makan, sukar mengawal selera makan, kurang fokus, tidur tidak berkualiti serta proses pemulihan badan yang semakin perlahan.

Dia yang juga pengasas 'Badcave Training Facility' berkata simptom berkenaan sering dianggap perkara biasa dan tidak diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, keadaan itu banyak berlaku dalam kalangan profesional di kawasan bandar, usahawan serta individu yang berdepan tekanan kerja yang tinggi.

“Ramai lelaki yang berjaya dalam lingkungan usia lewat 30-an, 40-an dan 50-an bergantung kepada pengambilan kafein, waktu makan yang tidak menentu, kurang tidur serta tekanan berpanjangan.

“Dari luar mereka kelihatan berjaya, namun dari sudut kesihatan dalaman ramai sebenarnya sedang mengalami kemerosotan metabolik,” ujarnya lagi.

Murad menambah diabetes juga tidak boleh dianggap sebagai isu perubatan yang hanya perlu ditangani di hospital atau klinik.

Sebaliknya, katanya penyakit itu turut memberi kesan terhadap produktiviti, prestasi kerja, keupayaan memimpin serta kualiti hidup seseorang secara keseluruhan.

Sehubungan itu, dia menggesa usaha pencegahan diperkasakan lebih awal menerusi amalan tidur yang mencukupi, pemakanan seimbang dan berjadual, aktiviti fizikal yang konsisten, pengurusan tekanan yang berkesan serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Isu diabetes kembali menjadi perhatian selepas Persidangan Diabetes Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Jun lalu, membincangkan pelbagai perkembangan terkini berkaitan pengurusan, pencegahan dan penjagaan pesakit diabetes.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6 peratus rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes, manakala 5.9 peratus lagi mempunyai paras glukosa darah yang tinggi tanpa menyedari mereka menghidap penyakit tersebut.

Tinjauan sama turut mendapati 54.4 peratus rakyat dewasa mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Mengulas statistik berkenaan, Murad berkata ia menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan diabetes kerana kesihatan yang baik tidak dapat dicapai sekiranya seseorang terus mengamalkan gaya hidup yang memudaratkan tubuh setiap hari.

“Tiada doktor, jurulatih mahu pun suplemen yang mampu mengimbangi kesan gaya hidup yang merosakkan kesihatan secara berterusan,” nasihatnya.

 

Must Watch Video

Advertisement