Skip to main content

Dunia

Trump arah pembangunan komputer kuantum dipercepat

U.S. President Donald Trump speaks on the day he signs an executive order regarding Quantum Computing, in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., June 22, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengarahkan usaha membangunkan komputer kuantum dipercepat dan penggunaan komputer itu dalam kerajaan AS diperluas. - Foto REUTERS/Jonathan Ernst
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengarahkan usaha membangunkan komputer kuantum dipercepat dan penggunaan komputer itu dalam kerajaan AS diperluas, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Jabatan Tenaga akan menerima komputer kuantum berkuasa tinggi untuk penemuan saintifik, kata penasihat sains dan teknologi Rumah Putih Trump Michael Kratsios pada Isnin. Tarikh sasaran ialah 2028.

Perintah eksekutif itu bagaimanapun tidak meletakkan tarikh sasaran. Ia menyatakan bahawa beberapa agensi AS, termasuk agensi angkasa lepas NASA, akan merangka rancangan lima tahun untuk penggunaan teknologi kuantum.

Komputer kuantum dijangka mempunyai keupayaan sangat tinggi berbanding mesin hari ini sekali gus menimbulkan harapan ia boleh membuka jalan kepada penemuan saintifik yang besar.

Pada masa sama, terdapat kebimbangan teknologi baharu itu mampu, dengan mudah, memecahkan sistem penyulitan yang kini dianggap selamat.

Syarikat teknologi seperti Apple dan Google selama bertahun-tahun telah memperkenalkan kaedah penyulitan baharu yang direka untuk menangani kemungkinan ancaman ditimbulkan oleh penggunaan komputer kuantum.

Trump turut mengarahkan langkah selanjutnya untuk melindungi infrastruktur AS daripada serangan menggunakan teknologi kuantum.

Pembekal tenaga dan utiliti air adalah antara yang akan diberi perlindungan keutamaan. Komputer kuantum yang berkuasa masih dalam pembangunan.

Google, antara pemain terkemuka dalam bidang ini, berharap untuk membina komputer kuantum yang praktikal menjelang akhir dekad.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement