Skip to main content

Malaysia

Dyeneley Daud wakil Nabawan juara RTK peringkat negeri 2026

KOTA KINABALU, 27 Mei -- Dyeneley Daud (tengah) dari daerah Nabawan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dyeneley Daud (tengah) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Kota Kinabalu, 27 Mei 2026. --fotoBERNAMA

PENAMPANG: Dyeneley Daud yang mewakili Nabawan muncul sebagai juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 peringkat negeri yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), semalam.

Dyeneley, 19, telah menewaskan 49 peserta dari seluruh daerah di Sabah, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan berupa wang tunai dan hadiah iringan berjumlah RM114,958.

Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Bryan Niccolson Jacob mewakili Keningau dan Daniel Chrionie Taning dari Tamparuli.

Dyeneley yang kini mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru berkata kemenangan yang diraih ialah hasil sokongan moral serta kata-kata semangat daripada keluarga sepanjang pertandingan berlangsung.

“Pertandingan RTK ialah platform bagi saya untuk memperkasakan kebudayaan Sabah agar lebih dikenali pada peringkat luar. Dalam manifesto saya memang saya tahu platform Randawi Tavantang Kaamatan ini sangat kuat. 

“Jadi, saya menggunakan kesempatan yang baik ini untuk merealisasikan impian saya sebagai seorang penari, iaitu saya ingin memartabatkan, memperkasakan lagi tarian tradisional di negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu.

Beliau juga berterima kasih kepada jawatankuasa KDCA Nabawan yang banyak membantunya dalam persediaan awal pertandingan, di samping mengurus sendiri busana dan tatarias sebelum pertandingan.

“Cabaran utama ialah membahagikan masa pengajian dan pertandingan sehingga terpaksa menduduki peperiksaan lebih awal demi menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau berharap belia yang bakal menyertai pertandingan RTK pada tahun hadapan dapat menetapkan misi dan visi yang jelas selain memahami tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai ikon budaya dan warisan.

Randawi Tavantang Kaamatan ialah pertandingan kebudayaan khusus untuk pemuda Sabah yang berkongsi misi dan visi bagi mempromosikan keunikan budaya, adat dan pakaian tradisional masyarakat Kadazandusun Murut Rungus, serta menjadi agenda tahunan Kaamatan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement