Skip to main content

Gaya Hidup

Dari sekolah ke komuniti: Gerakan menanam 'Tree For Life' perkasa bumi hijau

Tree for life
Gerakan Tree For Life sangat membantu pihak sekolah, dengan memberi pendedahan praktikal kepada murid dalam bidang pertanian dan memupuk nilai tanggungjawab serta kerjasama.

SEMUANYA bermula dengan satu langkah kecil – menanam sebatang pokok. Namun daripada usaha yang sederhana itu, lahirlah satu gerakan yang kini semakin berkembang di sekolah-sekolah dan komuniti setempat.

Program “Tree For Life” yang diasaskan oleh Dr. S. Puvanesvary atau lebih dikenali sebagai Puvanaeish bukan sekadar aktiviti menanam pokok, tetapi satu usaha menyemai kesedaran tentang kepentingan alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Dengan semangat sukarelawan dan sokongan komuniti, gerakan ini membawa mesej yang jelas – perubahan besar boleh bermula daripada tindakan kecil hari ini.

Advertisement

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif alam sekitar global di bawah Ahimsa International yang menyasarkan penanaman satu bilion pokok di seluruh dunia. Di peringkat tempatan, Tree For Life memberi tumpuan kepada penanaman pelbagai jenis pokok termasuk tanaman herba, sayur-sayuran dan tanaman bermanfaat yang lain di sekolah.

Menurut Puvanaeish, secara amnya, pokok semambu dipilih sebagai tunjang gerakan kerana ketahanannya dan manfaatnya yang pelbagai. “Pokok semambu mempunyai ciri penapis udara semula jadi dan nilai perubatan. Ia sangat sesuai ditanam di kawasan bandar dan separa bandar yang berdepan peningkatan suhu serta pencemaran,” jelas beliau.

Walaupun begitu, usaha memperkenalkan pokok semambu kepada masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah. “Cabaran utama ialah memberi kefahaman kepada komuniti tentang nilai pokok ini. Kadang-kadang anak pokok mudah diperoleh, tetapi kadar kelangsungan hidup menjadi isu. Kami pernah tanam 50 anak pokok, hanya 10 yang berjaya hidup,” katanya.

Namun, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangat pasukan Tree For Life. Mereka terus menambah baik teknik penanaman dan sistem penjagaan bagi memastikan kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi.

Image
Tree for life

 

Sejak tahun lalu, sebanyak 160 pokok dari pelbagai jenis telah ditanam di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di Jenjarom, termasuk 10 pokok semambu. Di Sekolah Kebangsaan St Anne di Pelabuhan Klang pula, merupakan antara yang terawal dan seterusnya menerima manfaat program ini. Puvanaeish menyasarkan untuk melibatkan sekurang-kurangnya dua sekolah setiap bulan, bersamaan 24 sekolah menjelang akhir tahun.

Bagi menyokong sasaran tersebut, kira-kira 100 anak pokok diusahakan setiap bulan bergantung kepada ruang dan sumber yang ada. “Setiap kitaran penanaman mengambil masa tiga hingga empat bulan dari peringkat semaian sehingga anak pokok sedia untuk dipindahkan,” jelas beliau lagi.

Di SK St Anne, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Bekas Guru Besarnya, Violet Pushparani Selliah berkata inisiatif ini memberi nilai tambah yang besar kepada warga sekolah.

“Program ini bukan sekadar menghijaukan kawasan sekolah, tetapi menjadi satu bentuk pembelajaran luar bilik darjah. Murid belajar mengenali pelbagai jenis pokok herba, ulam-ulaman, sayur-sayuran, pokok buah-buahan dan tanaman berbunga,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun ruang sekolah terhad, pendekatan yang sistematik membolehkan kawasan kecil dimanfaatkan sepenuhnya.

“Dalam satu meter persegi sahaja, murid boleh menanam tiga jenis tanaman. Ini membuktikan bahawa ruang yang kecil masih boleh menjadi produktif jika dirancang dengan baik,” ujarnya.

Manakala, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), SK Saujana Putra, Firdaus Mohd Yaakob pula melihat program ini sebagai selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan penglibatan agensi luar dalam program sekolah.

“Kerjasama bersama gerakan Tree For Life sangat membantu pihak sekolah. Ia memberi pendedahan praktikal kepada murid dalam bidang pertanian dan memupuk nilai tanggungjawab serta kerjasama,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan ibu bapa melalui aktiviti gotong-royong menanam pokok di kawasan sekolah turut memperkukuh impak program. “Apabila ibu bapa turut serta, murid melihat contoh secara langsung. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti sekolah, malah membentuk kesedaran bersama tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” jelasnya.

Selain aspek penghijauan, Tree For Life turut memberi penekanan kepada keselamatan makanan dan kesejahteraan mental murid. Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai ibu bapa menyuarakan kebimbangan tentang kekurangan aktiviti membina untuk anak-anak. Aktiviti berkebun dan menanam diperkenalkan sebagai pendekatan terapeutik yang membantu murid lebih fokus dan bertanggungjawab.

“Apabila murid diberi peluang dan masa, perubahan dapat dilihat pada cara pemikiran mereka. Aktiviti menanam menjadi satu terapi di mana mereka boleh menyumbang kepada sekolah dan keluarga,” kata Puvanaeish.

Gerakan ini turut menunjukkan bagaimana kawasan terhad boleh ditransformasikan menjadi zon hijau yang produktif. Di samping itu, pihaknya turut menggunakan tanah reservasi milik persendirian di Semenyih bagi menyokong usaha penanaman dan pengembangan program pada masa hadapan.

Fasa seterusnya menyasarkan hospital dan kawasan perumahan, di mana pokok-pokok yang ditanam dapat memberi teduhan, meningkatkan kualiti udara serta mewujudkan suasana yang lebih tenang dan sihat. Puvanaeish juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan penanaman berskala lebih besar di kawasan awam.

“Ini bukan sekadar projek, tetapi satu inisiatif holistik jangka panjang. Kita perlu fikirkan apa yang boleh kita tinggalkan untuk generasi akan datang,” tegas beliau.

Walaupun semangat dan sambutan semakin meningkat, kelangsungan gerakan ini memerlukan sokongan berterusan. Tree For Life kini menyeru lebih ramai sukarelawan yang komited untuk bersama-sama menanam, menjaga dan menyebarkan kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar.

Dari halaman sekolah ke hospital, dari kebun kecil ke deretan pokok semambu, gerakan “Tree For Life” membuktikan bahawa perubahan bermakna boleh bermula di peringkat komuniti – satu pokok pada satu masa.

Must Watch Video