SAMBUTAN Hari Yoga Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (2) Assunta, Petaling Jaya baru-baru ini tampil dengan pendekatan tersendiri apabila guru yoga, Nizha Periaswamy, 45, memperkenalkan kaedah latihan, "5 Minit + 500 Langkah". Ia merupakan sebuah konsep yang membolehkan amalan yoga dipraktis oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur, tahap kecergasan atau pengalaman.
Program komuniti yang dikendalikan oleh Nizha, yang berpengalaman lebih 10 tahun mengajar yoga, menghimpunkan sekumpulan pengamal yoga serta orang awam dalam suasana santai dan mesra sempena sambutan Hari Yoga Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia pada 20 dan 21 Jun 2026.
Menurut Nizha, beliau mahu masyarakat melihat yoga bukan sekadar aktiviti regangan atau amalan yang memerlukan fleksibiliti luar biasa, malah sebagai satu pendekatan holistik untuk meningkatkan kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi.
"Ramai beranggapan yoga memerlukan tahap fleksibiliti yang tinggi atau amalan posisi yang sukar. Hakikatnya, yoga boleh bermula dengan perkara yang sangat asas seperti berdiri dengan betul, bernafas dengan penuh kesedaran dan memberi perhatian kepada tubuh badan sendiri.
"Kaedah '5 Minit + 500 Langkah' ini menggabungkan lima posisi statik yang dikekalkan selama satu minit setiap satu serta lima posisi pergerakan yang diulang sebanyak 20 kiraan setiap satu sebagai permulaan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa latihan asas tersebut menghasilkan lima minit posisi statik dan 100 kiraan pergerakan secara keseluruhan. Peserta kemudiannya digalakkan meningkatkan kiraan secara berperingkat sehingga mencapai 100 kiraan bagi setiap pergerakan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 500 kiraan.
"Pendekatan ini boleh diibaratkan seperti sasaran berjalan 10,000 langkah sehari. Dalam yoga pula, saya memperkenalkan sasaran 500 langkah melalui pengulangan asana yang konsisten dan terkawal.
"Ramai yang mahukan hasil yang cepat, tetapi dalam yoga atau apa jua bentuk latihan fizikal, perubahan berlaku melalui latihan yang betul dan konsisten," katanya.
Menurut beliau, walaupun majoriti peserta yang hadir merupakan pelajar sedia ada yang telah mengikuti kelas yoga selama lebih setahun, kaedah tersebut sangat sesuai untuk golongan yang baru ingin memulakan yoga.
"Ia boleh disesuaikan mengikut matlamat individu sama ada untuk menurunkan berat badan, membina otot, menguatkan otot teras (core), meningkatkan stamina atau sekadar mengekalkan kesihatan dan mobiliti badan.
"Jika dilakukan sepenuhnya, keseluruhan rutin boleh mengambil masa sekitar 30 minit dan diakhiri dengan sesi rehat yang dikenali shavasana serta pernafasan atau pranayama yang memberi manfaat kepada tubuh dan minda. Namun bagi mereka yang mempunyai kekangan masa, kaedah ini masih boleh dirumuskan dalam masa 10 atau 15 minit sehari mengikut kemampuan masing-masing," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pergerakan berulang membantu meningkatkan stamina, koordinasi badan, kekuatan otot dan pembakaran kalori, manakala posisi statik pula melatih keseimbangan, kestabilan sendi, fokus mental serta kawalan pernafasan.
"Malah sesuatu yang kelihatan mudah seperti berdiri dalam satu posisi selama satu minit boleh menjadi cabaran apabila dilakukan dengan teknik, postur dan pernafasan yang betul. Posisi mudah ini, misalnya, membantu meningkatkan kestabilan otot, kesedaran postur dan keupayaan minda untuk kekal fokus, katanya.
Selain sesi yoga, peserta turut mengambil bahagian dalam sesi teknik pranayama (pernafasan), permainan interaktif, sesi perkongsian kesihatan dan sarapan bersama yang mengeratkan hubungan sesama peserta.
Bagi peserta, Punitha Vadivelloo, 37, program tersebut memberikan perspektif baharu mengenai yoga.
"Saya sudah lama mengikuti kelas yoga, tetapi kaedah 5 Minit + 500 Langkah ini membantu saya memahami bagaimana sesuatu pergerakan yang mudah boleh memberi kesan yang besar apabila dilakukan secara konsisten. Ia juga mudah diamalkan di rumah walaupun dengan jadual yang sibuk," katanya.
Seorang lagi peserta, Shabeena Shahul Hameed, 23, berkata program tersebut bukan sahaja memberi manfaat dari segi kecergasan fizikal, malah membantu meningkatkan ketenangan mental.
"Apabila kita mengekalkan sesuatu posisi dan memberi fokus kepada pernafasan, kita mula menyedari hubungan antara badan dan minda. Ia membuatkan saya lebih tenang dan lebih peka terhadap kesihatan diri sendiri," katanya.
Program tersebut turut mendapat sokongan daripada CareClinics Healthcare Services Sdn Bhd yang menyumbang kepada penganjuran program sebagai sebahagian daripada usaha menyokong inisiatif kesihatan komuniti.
Ketua Komunikasi dan Kesihatan Korporat CareClinics Healthcare Services Sdn Bhd, Dr. Rokeshwar Hari Dass, berkata kesedaran mengenai kesihatan perlu bermula daripada langkah-langkah kecil yang diamalkan secara konsisten.
"Kesihatan bukan sekadar mendapatkan rawatan apabila kita sakit. Ia bermula dengan pencegahan, pendidikan dan amalan gaya hidup sihat. Aktiviti seperti yoga membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental, selain menggalakkan masyarakat untuk lebih mengambil berat tentang kesihatan mereka.
"Kami berbesar hati dapat menyokong program komuniti seperti ini kerana ia selaras dengan aspirasi kami untuk membawa mesej kesihatan dan kesejahteraan lebih dekat kepada masyarakat," katanya.
Nizha merupakan graduan yoga dari Sakthi School of Yoga, Kajang dan Netaji Subhas Chandra Bose Indian Cultural Centre di bawah Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur. Beliau juga pernah terlibat sebagai penterjemah buku Yoga Untuk Kesihatan Holistik.
Beliau berharap lebih ramai masyarakat akan melihat yoga sebagai amalan harian yang mudah diakses dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
"Yoga bukan tentang menjadi sempurna atau melakukan posisi yang sukar. Yoga adalah tentang bergerak dengan sedar, bernafas dengan tenang dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk menjadi lebih sihat setiap hari.
"Jika kita boleh meluangkan beberapa minit sehari untuk tubuh dan minda kita, perubahan positif pasti akan berlaku. Lima minit dan 500 langkah mungkin kelihatan kecil, tetapi ia boleh menjadi permulaan kepada perubahan yang besar," katanya.