Skip to main content

Gaya Hidup

Mak Yong bertemu Shakespeare: Dialog budaya yang merentas zaman dan sempadan

Teater Mak Yong -- kredit AWANI
Produksi ini bukan sekadar mempersembahkan adaptasi sebuah karya Shakespeare, tetapi menjadi manifestasi bahawa Mak Yong mempunyai keupayaan untuk mentafsir karya klasik dunia melalui bahasa estetiknya sendiri.
Advertisement

APAKAH yang menghubungkan teater tradisional Melayu dengan karya agung William Shakespeare? 

Pada pandangan pertama, kedua-duanya seolah-olah berada dalam dunia yang berbeza. 

Namun, apabila ditelusuri dari sudut dramaturgi, kedua-dua tradisi ini berkongsi tema yang begitu dekat dengan pengalaman manusia sejagat seperti kehilangan, pencarian identiti, kekeluargaan dan pertemuan semula.

Persamaan itu terserlah menerusi The Comedy of Errors karya William Shakespeare dan cerita Mak Yong Anak Raja Dua Serupa. 

Walaupun lahir daripada latar sejarah, budaya dan sistem persembahan yang berbeza, kedua-dua karya dibina atas motif yang hampir serupa, iaitu kisah adik-beradik kembar yang dipisahkan sejak kecil sebelum dipertemukan semula melalui siri kekeliruan identiti yang menggerakkan keseluruhan cerita.

Shakespeare menulis The Comedy of Errors sekitar tahun 1592 hingga 1594 ketika zaman Renaissance Inggeris sedang mencapai kemuncaknya. 

Dalam tempoh yang hampir sama, tradisi Mak Yong dipercayai telah berkembang di lingkungan istana Kesultanan Melayu Pattani sebelum direkodkan oleh pedagang Inggeris Peter Floris sekitar tahun 1612 hingga 1613. 

Walaupun tiada bukti sejarah yang menunjukkan wujudnya hubungan langsung antara kedua-dua tradisi tersebut, persamaan naratif yang muncul membuktikan bahawa tamadun yang berkembang secara berasingan mampu melahirkan imaginasi dramatik yang hampir seiring.

Dalam karya Shakespeare, konflik bermula apabila dua pasangan kembar dipisahkan akibat ribut di laut. 

Pertemuan mereka di kota Ephesus mencetuskan rentetan salah faham yang akhirnya berkembang menjadi komedi situasi yang penuh ironi dan jenaka.

Cerita Anak Raja Dua Serupa pula mengisahkan Iras Kesuma dan Alam Kesuma yang dipisahkan sejak kecil apabila Alam Kesuma diculik oleh Raja Lanun. 

Kedua-duanya dibesarkan dalam dunia yang berbeza sehingga akhirnya dipertemukan semula melalui satu kekeliruan identiti yang mengubah perjalanan hidup mereka.

Kemuncak cerita berlaku apabila Iras Kesuma berlabuh di wilayah Raja Lanun.

Disebabkan wajahnya yang seiras dengan Alam Kesuma, Raja Lanun menyangka putera tersebut telah mengkhianatinya lalu mengarahkan beliau ditangkap.

Episod ini memperlihatkan persamaan yang ketara dengan teknik dramatik Shakespeare apabila watak-watak dalam The Comedy of Errors sentiasa tersalah mengenali Antipholus dari Syracuse dan Antipholus dari Ephesus.

Namun begitu, persamaan struktur naratif tidak bermakna kedua-duanya membawa falsafah yang sama. 

Shakespeare menggunakan kekeliruan identiti untuk membangunkan unsur farce melalui dialog yang pantas, ironi dramatik dan komedi situasi. 

Sebaliknya, Mak Yong mengangkat konflik tersebut sebagai perjalanan kepahlawanan, pencarian asal-usul dan pembentukan jati diri yang akhirnya mengembalikan keseimbangan keluarga serta pemerintahan.

Keistimewaan Mak Yong terletak pada keupayaannya menggabungkan lakonan, muzik, nyanyian, tarian dan improvisasi dalam satu bentuk persembahan yang bukan sekadar menghiburkan, malah menyampaikan falsafah kehidupan, adat dan hubungan manusia dengan alam. 

Di sinilah kekuatan teater tradisional Melayu yang terus relevan meskipun merentas zaman.

Image
Teater Mak Yong, Norzizi Zulkifli -- kredit AWANI
Norzizi selain menjadi pengarah persembahan turut membawakan watak Pak Yong/Raja Besar Solinus.

Tradisi yang terus berdialog

Pemikiran inilah yang menjadi asas kepada perjalanan artistik Prof. Madya Dr Norzizi Zulkifli. 

Bagi beliau, teater tradisional bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara dalam bentuk asal, tetapi sebuah bahasa persembahan yang sentiasa hidup dan mampu berkembang melalui dialog dengan tradisi teater dunia.

Pendekatan tersebut sejajar dengan gagasan sarjana teater Patrice Pavis mengenai Intercultural Theatre, yang melihat pertemuan antara budaya sebagai proses rundingan estetik dan bukannya peniruan satu budaya terhadap budaya yang lain. 

Melalui pendekatan ini, Mak Yong bukan kehilangan identitinya, sebaliknya, memperoleh dimensi baharu tanpa mengorbankan akar budayanya.

Eksplorasi Norzizi bermula menerusi Mak Yong Titis Sakti pada tahun 2009 yang diterbitkan oleh The Actors Studio Seni Teater Rakyat, karya tersebut mempertemukan estetika Mak Yong Kelantan dengan A Midsummer Night's Dream karya Shakespeare. 

Teks asal tidak dipindahkan secara literal, sebaliknya diterjemahkan melalui tatabahasa persembahan Mak Yong sehingga melahirkan sebuah karya baharu yang benar-benar berakar pada estetika tempatan. 

Kejayaan produksi itu membawa kepada pementasan semula pada tahun 2018. 

Eksperimen Zizi diteruskan dengan menghasilkan karyanya Throne of Thorns pada tahun 2017 yang diadaptasi daripada The Tempest, sekali gus memperkukuhkan lagi usaha menghubungkan warisan teater Melayu dengan karya klasik dunia.

Kini, dialog budaya itu diteruskan melalui pementasan The Comedy of Errors dalam acuan Mak Yong di Dewan Filharmonik PETRONAS melalui kolaborasi bersama Fakulti Filem, Teater dan Animasi, (FiTA) Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

Produksi ini bukan sekadar mempersembahkan adaptasi sebuah karya Shakespeare, tetapi menjadi manifestasi bahawa Mak Yong mempunyai keupayaan untuk mentafsir karya klasik dunia melalui bahasa estetiknya sendiri.

Norzizi selain menjadi pengarah persembahan turut membawakan watak Pak Yong/Raja Besar Solinus, manakala Vanida Imran menghidupkan watak Egeon, seorang saudagar dari Syracuse yang ditangkap di Ephesus kerana melanggar undang-undang yang melarang kemasukan warga dari kota saingan. 

Berdepan hukuman mati sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan, Egeon menjadi nadi emosi keseluruhan penceritaan apabila memulakan pencarian penuh harapan untuk menemukan semula isterinya, Mak Wan Emilia yang dilakonkan oleh Juhara Ayob, serta dua anak kembarnya yang telah lama terpisah, dibawakan oleh Mhia Farhana Firdaus sebagai Pak Yong Syracuse dan Salsabila Sofian sebagai Pak Yong Ephesus.

Image
Teater Mak Yong, Vanidah Imran -- kredit AWANI
Vanida Imran menghidupkan watak Egeon, seorang saudagar dari Syracuse yang ditangkap di Ephesus kerana melanggar undang-undang yang melarang kemasukan warga dari kota saingan. 

Turut menguatkan produksi ini ialah Ismadian sebagai Permaisuri Solinus, Dr. Rosdeen Suboh, Asrulfaizal Kamaruzaman, Shahkimin dan Fazlisham Mat Hussin (Issey) sebagai Peran. 

Kehadiran mereka memperlihatkan pertemuan dua dunia seni tradisional dan moden yang saling melengkapi dalam sebuah bahasa persembahan yang segar.

Keupayaan Ain Sufia menghidupkan watak Adriana bersama JZ Jasli sebagai Luciana menjadi antara kekuatan utama produksi ini. 

Keserasian kedua-dua pelakon dalam membawa watak dua beradik yang dihimpit kekeliruan identiti akibat kemunculan individu-individu yang memiliki rupa paras seiras berjaya mencipta rentetan adegan yang menghiburkan.

Lakonan mereka yang spontan, bersahaja dan penuh tenaga bukan sahaja memperkukuh tempo komedi karya ini, malah berjaya mencetuskan gelak tawa berterusan sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang persembahan.

Lebih istimewa, Dewan Filharmonik PETRONAS hanya memperuntukkan satu malam pementasan, menjadikan produksi ini sebuah persembahan eksklusif yang menghimpunkan nama-nama besar seni persembahan negara dalam satu pentas.

Akhirnya, perbandingan antara The Comedy of Errors dan Anak Raja Dua Serupa bukanlah untuk membuktikan bahawa salah satu mempengaruhi yang lain.

Sebaliknya, persamaan tersebut memperlihatkan bahawa dua tradisi teater yang berkembang dalam dunia yang berbeza mampu berkongsi naratif yang sama kerana berangkat daripada pengalaman manusia yang bersifat universal. 

Di situlah terletaknya kekuatan Mak Yong bukan sekadar warisan budaya yang dipelihara, tetapi sebuah tradisi yang terus hidup, berevolusi dan berdialog dengan dunia.


  • Zahari Hamzah ialah penulis seni, pengamal teater dan pengurus program yang aktif menulis mengenai seni persembahan, warisan budaya dan teater tradisional Melayu.
  • Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang komunikasi strategik, pengurusan acara dan pengurusan seni, beliau memberi penekanan kepada kajian, dokumentasi dan penulisan berkaitan Mak Yong, Main Teri serta dramaturgi interkultural.
  • Menerusi penulisan dan amalan seni, beliau berusaha memperkukuh pemahaman terhadap warisan persembahan Melayu sebagai khazanah budaya yang dinamik, terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap seni kontemporari di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Must Watch Video

Advertisement