Salah satu cabaran paling biasa sepanjang bulan Ramadan ialah rasa mengantuk pada waktu siang, khususnya ketika bekerja atau belajar. Perubahan rutin harian, termasuk bangun awal untuk bersahur dan tidur lebih lewat boleh menjejaskan pola tidur serta tahap tenaga badan.
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan bagi membantu anda kekal segar dan produktif sepanjang hari:
- Utamakan tidur malam yang berkualiti
Perubahan jadual tidur ketika Ramadan adalah perkara biasa, namun tidur yang mencukupi tetap penting bagi memastikan badan mendapat rehat yang diperlukan. Cuba elakkan tidur lewat dan biasakan tidur lebih awal supaya tempoh rehat malam tidak terlalu terjejas.
- Manfaatkan ‘power nap’ secara sederhana
Waktu rehat tengah hari boleh dimanfaatkan untuk tidur seketika atau ‘power nap’. Tempoh sekitar 15 hingga 20 minit sudah memadai untuk membantu menyegarkan minda tanpa menyebabkan rasa lebih lesu selepas bangun.
- Tukar pemandangan
Bagi mereka yang bekerja di pejabat atau menggunakan komputer sepanjang hari, keletihan mata boleh menyumbang kepada rasa mengantuk. Mengalihkan pandangan daripada skrin secara berkala, berjalan seketika atau melihat pemandangan luar boleh membantu mengurangkan keletihan visual dan menyegarkan minda.
- Segarkan diri dengan mencuci muka
Mencuci muka dengan air sejuk merupakan langkah ringkas tetapi berkesan. Sensasi sejuk pada kulit boleh membantu meningkatkan kewaspadaan serta memberi rasa segar dalam masa singkat. Ini juga boleh menjadi ‘reset’ mental sebelum anda kembali menyambung kerja atau aktiviti harian.
- Lakukan regangan atau pergerakan ringan
Duduk terlalu lama boleh memperlahankan peredaran darah dan menyumbang kepada rasa lesu. Melakukan regangan ringan, berdiri seketika atau berjalan di sekitar ruang kerja selama beberapa minit dapat membantu melancarkan aliran darah serta meningkatkan bekalan oksigen ke otak.
Lebih baik lagi, menunaikan solat juga boleh menjadi waktu rehat yang memberi kesegaran fizikal dan ketenangan minda sebelum kembali meneruskan aktiviti harian. Dengan sedikit penyesuaian rutin harian, cabaran ini boleh diatasi tanpa menjejaskan ibadah dan tanggungjawab harian sepanjang Ramadan.