Skip to main content

Gaya Hidup

Pavilion Damansara rai 25 tahun keajaiban Harry Potter menerusi pengalaman imersif bertemakan Hogwarts

25 yeas of Magic Harry Porter... kredit Pavilion Damansara
Pavilion Damansara Heights mengajak orang ramai mengimbau semula keajaiban dunia sihir Harry Potter menerusi penganjuran kempen khas “Harry Potter: 25 Years of Magic”, yang berlangsung selama sebulan bermula 20 Ogos hingga 20 September 2026.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pavilion Damansara Heights mengajak orang ramai mengimbau semula keajaiban dunia sihir Harry Potter menerusi penganjuran kempen khas “Harry Potter: 25 Years of Magic”, yang berlangsung selama sebulan bermula 20 Ogos hingga 20 September 2026.

Kempen itu dianjurkan bersempena ulang tahun ke-25 kemunculan filem Harry Potter and the Philosopher’s Stone, yang memperkenalkan dunia sihir Hogwarts kepada penonton di seluruh dunia.

Menerusi pengalaman imersif yang diinspirasikan daripada siri popular tersebut, pengunjung berpeluang menyusuri beberapa lokasi ikonik termasuk Platform 9¾, Hogwarts Express dan perkampungan Hogsmeade yang direka khas bagi menghidupkan semula suasana dalam filem berkenaan.

Pengalaman itu bermula di Platform 9¾, lokasi terkenal yang menjadi pintu masuk ke dunia sihir, di mana pengunjung boleh merakam gambar bersama troli bagasi seolah-olah sedang menembusi dinding bata ikonik serta bergambar di pondok telefon stesen kereta api yang sinonim dengan francais tersebut.

Perjalanan kemudian diteruskan ke replika Hogwarts Express yang menampilkan lokomotif bersaiz sebenar lengkap dengan kesan wap berkala dan rekaan kabin yang menyerupai kereta api menuju ke Sekolah Sihir Hogwarts.

Pengunjung seterusnya akan dibawa ke kawasan bertemakan Hogsmeade yang menampilkan pelbagai barangan eksklusif dan pameran diorama sebelum mengakhiri pengalaman mereka di ruang bengkel (Workshop Area), yang menawarkan pelbagai aktiviti kraf bertemakan Harry Potter.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Malls, Datuk Joyce Yap berkata, Harry Potter terus menjadi fenomena global yang merentasi generasi sejak suku abad lalu.

“Selama 25 tahun, Harry Potter telah mencetuskan imaginasi jutaan peminat dan mewujudkan hubungan yang kekal dalam kalangan penggemarnya di seluruh dunia.

“Di Pavilion Damansara Heights, kami berbesar hati meraikan pencapaian ini dengan membawa keajaiban dunia sihir lebih dekat kepada pengunjung menerusi pengalaman imersif yang menghimpunkan keluarga, rakan serta peminat.

“Kami berharap sambutan ini membolehkan peminat lama mengimbau kenangan manis mereka, sambil memperkenalkan generasi baharu kepada keajaiban dan keterujaan dunia Harry Potter,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, pengunjung juga boleh menyertai Campaign Journey Redemption, iaitu cabaran interaktif yang merangkumi tiga stesen berbeza.

Cabaran tersebut bermula dengan pendaftaran melalui kod QR sebelum peserta diminta berkongsi gambar pengalaman mereka di Platform 9¾ dan Hogwarts Express menggunakan tanda pagar rasmi kempen.

Mereka kemudian perlu menyertai aktiviti pencarian artifak tersembunyi bertemakan dunia sihir sebelum mengakhiri cabaran dengan berkongsi kenangan atau pengalaman kegemaran berkaitan Harry Potter di dalam kabin Hogwarts Express.

Peserta yang berjaya melengkapkan ketiga-tiga cabaran berpeluang menebus pek pelekat Harry Potter edisi terhad di kaunter penebusan yang disediakan.

Sepanjang tempoh kempen berlangsung, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan rasmi Harry Potter di reruai MINISO selain menyertai bengkel kreatif bertemakan francais berkenaan yang diadakan di Concourse, Aras 2.

Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk bengkel menghasilkan topi sambutan ulang tahun Harry Potter menggunakan dawai pembersih berwarna serta bengkel mereka bentuk aksesori peribadi menggunakan bahan shrink-film.

Selain itu, pertunjukan fesyen khas oleh ALIST Academy turut dijadual berlangsung pada 29 Ogos lalu di Concourse, Aras 2, menampilkan koleksi jenama Cheetah yang diinspirasikan daripada dunia Harry Potter.

Sebagai tarikan tambahan, Pavilion Damansara Heights turut menawarkan ganjaran eksklusif kepada pembeli sepanjang kempen berlangsung.

Pengunjung yang berbelanja minimum RM300 dalam satu resit layak menebus sepasang stoking Harry Potter, manakala pembelian minimum RM500 membolehkan mereka menebus satu beg kecil (pouch) Harry Potter yang ditawarkan dalam empat rekaan berbeza.

Penebusan boleh dilakukan pada hari yang sama di kaunter Concierge, Aras 2, tertakluk kepada terma dan syarat serta selagi stok masih ada.

Must Watch Video

Advertisement