Skip to main content

Gaya Hidup

Perubatan senaman mampu perkukuh usaha cegah penyakit tidak berjangkit

Senaman yang ditetapkan pada tahap intensiti, tempoh dan kekerapan yang bersesuaian mampu membantu melengkapi rawatan konvensional. - Gambar hiasan
Senaman yang ditetapkan pada tahap intensiti, tempoh dan kekerapan yang bersesuaian mampu membantu melengkapi rawatan konvensional. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perubatan senaman yang menetapkan aktiviti fizikal bersesuaian dengan keadaan kesihatan individu mampu membantu mencegah dan mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD), kata pakar perubatan senaman Prof Dr Muhammad Lee Chee Pheng.

Beliau berkata senaman yang ditetapkan pada tahap intensiti, tempoh dan kekerapan yang bersesuaian mampu membantu melengkapi rawatan konvensional bagi menangani penyakit seperti diabetes, penyakit jantung serta tekanan darah tinggi.

“Tidak memadai dengan sekadar meningkatkan pergerakan fizikal. Kita perlu memahami bagaimana senaman berfungsi dari sudut klinikal dan menetapkannya dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Dr Muhammad Lee yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksektif Asia College of Exercise Medicine (ACEM)  berkata peningkatan kesedaran dan latihan dalam bidang perubatan senaman dapat membantu pengamal penjagaan kesihatan menyepadukan aktiviti fizikal dalam rawatan pesakit, sekali gus berpotensi meningkatkan hasil kesihatan dan mengurangkan kebergantungan kepada ubat-ubatan dalam sesetengah kes.

ACEM menawarkan Sijil Profesional dalam Perubatan Senaman selama 120 jam kepada doktor, jururawat, ahli fisioterapi, jurulatih kecergasan serta pelajar sains kesihatan, dengan modul merangkumi pengurusan NCD, penilaian fizikal, biomekanik senaman serta pencegahan kematian mengejut.

Beliau berkata ACEM telah menjalin kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) bagi menerapkan perubatan senaman dalam kurikulum pendidikan perubatan bagi membolehkan bakal doktor memberikan nasihat kepada pesakit mengenai senaman yang selamat dan bersesuaian dengan keadaan kesihatan mereka.

Kerjasama berkenaan turut meliputi kajian penyelidikan mengenai paras kalium dalam serum semasa bersenam, manakala ACEM sedang membangunkan protokol dos senaman bagi pelbagai jenis kanser serta menambah baik preskripsi senaman menerusi penyelidikan yang berterusan.

ACEM juga sedang berkolaborasi dengan Comenius University Bratislava di Slovakia dan Hungarian University of Sports Science bagi membangunkan peralatan pengujian untuk penyelidikan dalam bidang perubatan senaman.

Dr Muhammad Lee berkata Persidangan Dunia Perubatan Senaman (WCEM 2027) kali kelapan akan diadakan di Budapest, Hungary dari 21 hingga 23 April tahun depan, dengan menghimpunkan penyelidik serta profesional penjagaan kesihatan bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang itu.

Beliau berkata preskripsi senaman yang berlandaskan bukti saintifik serta latihan profesional merupakan aspek penting sebagai usaha memastikan aktiviti fizikal dilaksanakan dengan selamat dan berkesan bagi pencegahan dan pengurusan penyakit.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement