MELAKA: Seramai 100 sukarelawan menyertai Program Khidmat Bakti Siswa di bawah Program Community Heroes Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pertubuhan Peduli Waghih Negeri Sembilan bergotong-royong membersihkan Zoo Melaka.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata program itu melibatkan sukarelawan terdiri daripada pelajar tajaan YBR, melakukan pembersihan dan menceriakan kawasan sekitar zoo bagi keselesaan kepada pengunjung.

"Aktiviti kesukarelawanan itu juga melibatkan pembersihan kandang dan pemberian makan kepada haiwan dan membaik pulih taman permainan.

"Di samping itu, mereka juga diberi pendedahan mengenai tatacara pemeliharaan, pengetahuan berkenaan pemuliharaan haiwan dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Syaiful Rizal berkata Zoo Melaka merupakan antara pusat konservasi yang menjadi tumpuan di negara ini kerana ia menempatkan lebih 214 spesies haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia.

Beliau berkata menerusi program itu, YBR percaya usaha itu juga dapat memastikan kelestarian alam sekitar di samping memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan belia.

"Program ini juga merupakan satu daripada tanggungjawab sosial YBR dan di bawah Program Community Heroes YBR ia terbuka kepada pelajar tajaannya yang ingin berkhidmat kepada masyarakat dengan berkongsi dan menyumbangkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan tenaga sukarelawan," katanya.

-- BERNAMA