Jika anda berada di ibu kota London ketika ini, pastinya anda akan terserempak dengan beberapa teksi London atau 'Black Cab' yang merupakan lambang ikonik di sana.

Lebih menarik lagi, ia di hiasi dengan pelekat gambar pemandangan Pantai Penarik, Setiu, Terengganu.

Teksi tersebut jelas mempamerkan gambaran pantai yang bersih selain pemandangan laut biru yang tenang bakal memikat hati pelancong untuk datang ke Terengganu.

Hiasan teksi itu adalah salah satu usaha kempen bergerak bagi membantu Kerajaan Negeri Terengganu mempromosi produk pelancongan negeri itu di kota London ketika menyertai Tourism Malaysia Pavilion dalam World Travel Market 2018 pada 5 hingga 7 November 2018 di ibu kota London.

Carian di Facebook pula menemui tiga keping gambar teksi itu yang dikongsikan di akaun milik Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 7 November lepas.

Ia menunjukkan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman turut merakamkan gambar bersama-sama teksi London itu yang dimeriahkan dengan pemandangan di tepi Pantai Penarik.

Netizen di dalam ruangan komen Facebook itu turut memuji dan memberi reaksi positif terhadap Kerajaan Terengganu dalam usaha memperkenalkan negeri itu di kota London.

Kebanyakkan mereka berbangga dengan usaha ini dan memohon agar promosi sebegini harus di perluaskan lagi.

Turut memberi komen di dalam Facebook antaranya 'Sebastian Guiderti' yang mencadangkan agar Kerajaan Terengganu menggunakan selebriti seperti Mat Dan; jejaka Inggeris yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu dan Lee Tuck, pemain import pasukan Terengganu FC dari England untuk tujuan ini.

Ada juga komen seperti dari 'Salleh Mohamad' yang mahu budaya negeri Terengganu turut dipamerkan di Black Cab seperti pencak silat Rebana, penyu bertelur dan tenunan batik sutera untuk menarik lebih ramai pengunjung mendekati Kuala Terengganu di samping tempat peranginan yang menjadi tumpuan masyarakat luar.

Pengguna Facebook, 'Azmie Abu Bakar' juga turut mencadangkan agar laman web atau Kod QR dipamerkan di Black Cab bagi memudahkan proses mendapatkan maklumat mengenai negeri Terengganu, bersesuaian dengan perkembangan pantas teknologi maklumat ketika ini.

Ketika ini dianggarkan, terdapat 21,000 Black Cab di London dan promosi ini pastinya menjadi satu platform yang sesuai untuk mempromosikan Terengganu.

Dengan jangkaan 40.9 juta kemasukkan pelancongan ke United Kingdom pada tahun 2018 dan 39.2 juta pada tahun 2017 pasti akan memberikan impak yang besar terhadap usaha dan kempen ini kepada Terengganu.

Kempen ini dikira tepat pada sasaran pembangunan pelancongan negeri itu.

Untuk rekod, Terengganu antara negeri yang bertuah di Malaysia tahun ini untuk terlibat dalam World Travel Market yang merupakan acara besar-besaran untuk industri pelancongan antarabangsa dimana kira-kira 50,000 pemain utama industri, menteri, wakil kerajaan dan media antarabangsa seluruh dunia menyertainya.

Justeru, usaha dan inisiatif Kerajaan Terengganu mempromosikan pelancongan melalui Teksi London akan membuka satu lembaran baharu terhadap industri pelancongan negeri itu.

Ia juga bersesuaian kerana black cab merupakan salah satu pengangkutan utama pelancongan dan warga Britain di London.

Ia juga sering dilihat di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan dan lapangan terbang yang paling sibuk di dunia iaitu, Heathrow Airport.

Usaha kreatif dan pendekatan yang di ambil oleh Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat akan membantu Terengganu dikenali, menjadi tumpuan pelancong dunia sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi negeri itu.