Nama Alena Murang mungkin tidak asing lagi dalam kalangan penggemar muzik sape di Malaysia.

Terbaru, gadis Kelabit-Eurasia yang berasal dari Sarawak ini 'terbang' ke Taiwan untuk membuat persembahan sempena Festival Tanglung Taiwan 2020 yang diadakan di daerah Haoli, Taichung.

Beliau yang telah mula berkecimpung dalam bidang seni sejak usia muda itu bukan kali pertama mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menurut Alena, beliau amat teruja berkongsi cerita dan tradisi Sarawak di pentas antarabangsa melalui irama muzik sape.

“Saya amat bersyukur untuk berada di Taiwan bersama ahli kumpulan terutamanya dan saya tidak sabar bagi dua minggu akan datang. Saya akan ke Panama untuk festival yang ada di sana

"Kami juga menerima berita baik pada hujung minggu ini tadi apabila video muzik Midang Midang diterima dalam Festival Filem Maoriland di New Zealand,” katanya.

Midang Midang adalah merupakan antara karya terbaharu Alena yang dilancarkan pada November tahun lalu.

Video muzik itu membawa makna besar kepada Alena kerana ia menggambarkan tradisi dan cerita rakyat kaum Kelabit.

Karya itu turut menggabungkan sinematografi segar sarat dengan elemen budaya, kontemporari dan fesyen. Suntingannya pula dilakukan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menyentuh mengenai penerimaan, katanya masyarakat luar amat positif terhadap seni muzik yang dipersembahkannya.

Beliau berkata demikian dalam satu perkongsian video eksklusif bersama wartawan AWANI Sarawak berkenaan kunjungannya ke negara itu.

Selain Alena, dia turut disertai rakan muziknya iaitu Jonathan Wong, Joshua Maran dan Jimmy Chong pada festival tersebut.

Alena giat mempromosikan lagu-lagu tradisi dengan membawa identiti tersendiri setiap kali dijemput mengadakan persembahan di luar negara. -Gambar Instagram Alena Murang

Festival Tanglung Taiwan 2020 adalah merupakan salah satu festival terbesar dan acara tahunan yang disambut di negara itu.

Tahun ini, ia berlangsung sejak 8 Februari lalu dan akan berakhir pada 23 Februari ini.

VIDEO: Irama sape Sarawak bergema di Taiwan