BAGI peminat filem Lord of The Rings, pastinya masih teringat keindahan kampung elf Rivendell, dengan barisan air terjun indah mengelilingi kampung di lembah pergunungan indah mendamaikan jiwa yang melihatnya.

Ramai tidak tahu hakikatnya kampung seumpamanya wujud pada dunia nyata. Ketika J.R.R Tolkien menulis buku itu, beliau telah pergi ke kampung Lauterbrunnen di Switzerland, lantas terpesona dengan keindahan kampung tersebut.

Beliau menjadikan Lauterbrunnen sebagai latar dan insipirasi kepada penghasilan kampung Rivendell.





Dalam kembara Rarecation ke Switzerland, Lauterbrunnen adalah destinasi wajib untuk kami singgah. Berada di lembah ini membuat kami terpesona dan terpaku melihat keindahan seni bina rumah kayu klasik yang masih tidak terusik dengan pembangunan.

Ia terletak indah antara dua hamparan gunung yang diriingi barisan air terjun. Dikatakan pada lembah ini terdapat lebih dari 72 air terjun pelbagai saiz dengan yang paling besar dan ikonik adalah Air Terjun Staubbach.



Berada di sini kita ambil masa sendiri, tidak perlu terkejar-kejar dan hirup secawan coklat panas sambil mendengar bunyi nyanyian air terjun.

Kadang-kadang, bunyi kereta api yang membawa pengembara ke perkampungan Alps menyelit dalam keheningan, menambahkan lagi keamanan.



Selesai mencicip secawan kopi, kita sihatkan kaki dengan melakukan brisk walk di sekitar kampung untuk melihat kehidupan warganya dengan lebih dekat.

Pada sebelah petang, jika bernasib baik, dari kejauhan sudah terdengar bunyi-bunyian loceng lembu bertalu-talu. Sekumpulan lembu pulang ke kandang mereka selepas seharian dibiarkan bebas meragut rumput. Lembu di Switzerland antara lembu yang menghasilkan susu terbaik di dunia, kerana itu rasa hot chocolate di sini tidak sama seperti di tempat lain.



Setiap musim, kampung ini memaparkan keindahan yang unik dan sukar dilupakan. Jika dari penulisan dan foto kami sahaja sudah membuat anda geram, lihat pula videonya nanti di dalam YouTube kami RareTV, pastinya membuatkan kita semua termimpi-mimpi!

Sehingga ini dulu perkongsian kami pada kali ini, jumpa lagi di dalam artikel seterusnya.