ANJING yang dipanggil New Guinea Singing Dog, merupakan antara baka anjing yang dipercayai sudah pupus, namun penemuan terbaharu memberi harapan kepada penyelidik bahawa kumpulan anjing istimewa ini masih boleh diselamatkan.

Ia mula ditemui dan menjadi topik kajian pada 1897. Ia dikenali dengan ciri istimewa iaitu vokalisasi yang unik dan dapat mengeluarkan suara harmoni dengan nada yang berkualiti.

'Nyanyian' anjing ini kedengaran seperti yodel (bentuk nyanyian yang melibatkan perubahan nada berulang dan cepat). Apabila berada dalam satu kumpulan, salah seekor akan mula 'menyanyi' dan yang lain akan turut serta bergabung dalam nada yang berbeza, menghasilkan satu bunyi yang unik.

New Guinea Singing Dog sebelum ini didakwa sudah pupus. - Foto/Zoo San Diego

Hanya terdapat kira-kira 300 ekor anjing berkenaan ketika itu dan ia didakwa sudah pupus sejak 1970-an.

Bagaimanapun, penyelidik menemui anjing yang digelar Highland Wild Dog atau anjing liar tanah tinggi, mempunyai fizikal yang sangat mirip dengan New Guinea Singing Dog.

Dianggap sebagai binatang seperti anjing paling jarang ditemui, anjing liar tanah tinggi sebenarnya lebih tua dan wujud lebih awal daripada New Guinea Singing Dog.

Empat tahun lalu, Universiti Papua dan Yayasan Anjing Liar Tanah Tinggi New Guinea, mengetuai ekspedisi ke Puncak Jaya, sebuah puncak gunung di Papua, Indonesia.

Hasil kajian dan pemerhatian, mereka melaporkan terdapat 15 ekor anjing liar tanah tinggi di sekitar lombong Grasberg, lombong emas terbesar di dunia.

Perbandingan DNA yang diekstrak daripada darah yang dikumpulkan daripada tiga ekor anjing baka berkenaan menunjukkan haiwan itu mempunyai urutan genom yang sangat mirip dengan New Guinea Singing Dog, menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), Isnin lalu.

Anjing ini mempunyai kebolehan 'menyanyi' yang unik. - Foto/Zoo San Diego

"Ujian DNA terperinci mengesahkan bahawa anjing liar tanah tinggi berasal dari keturunan New Guinea Singing Dog, ” kata Dr. Kylie Cairns, ahli biologi pemuliharaan di Pusat Sains Ekosistem, Universiti New South Wales.

"New Guinea Singing Dog sudah tidak boleh ditemui, ia baka eksotik dengan kebolehan vokal yang unik.

"Kehilangan spesies ini merupakan satu kerugian. Kami tidak mahu perkara itu berlaku, " kata Elaine Ostrander, ketua kumpulan penyelidikan di Institut Penyelidikan Genom Manusia Nasional (NGHRI).

Sebelum ini, terdapat kebimbangan anjing liar tanah tinggi juga telah pupus akibat kehilangan habitat, selain faktor sudah bercampur dengan anjing kampung liar.

Menurut Zoo San Diego, sendi dan tulang belakang New Guinea Singing Dog sangat fleksibel, membolehkan ia melompat dan memanjat seperti kucing.

Para penyelidik berharap dapat membiakkan anjing liar tanah tinggi dengan New Guinea Singing Dog, mungkin melalui penggunaan sampel sperma, bertujuan mewujudkan semula populasi New Guinea Singing Dog.

Mereka juga berharap dapat merangka satu program konservasi bagi membantu mempelbagaikan dan memulihara populasi haiwan berkenaan.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !