LIFESTYLE
Bilangan remaja obes dan berlebihan berat badan diramalkan melonjak

Masalah kesihatan dalam kalangan remaja beralih daripada rokok dan alkohol, kepada peningkatan berat badan dan masalah kesihatan mental. - Gambar hiasan/Istock.com
LONDON: Hampir setengah bilion remaja di seluruh dunia dijangka mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2030, menurut pakar yang memberi amaran bahawa kesihatan remaja kini berada di "titik kritikal", lapor PA Media/dpa.
Dalam satu kajian semula utama mengenai kesihatan dan kesejahteraan remaja, pakar menyatakan bahawa punca utama masalah kesihatan dalam kalangan remaja beralih daripada rokok dan alkohol kepada peningkatan berat badan dan masalah kesihatan mental.
Mereka turut memberi amaran bahawa kesihatan mental remaja merosot dengan "ketara" sejak tiga dekad lepas dan situasi ini diburukkan lagi oleh krisis COVID-19.
Mereka menjangkakan seramai 464 juta remaja di seluruh dunia akan mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2030, meningkat sebanyak 143 juta berbanding 2015.Sungguhpun begitu, Suruhanjaya Lancet mengenai Kesihatan dan Kesejahteraan Remaja menyatakan: "Dari segi risiko kesihatan, penggunaan bahan (terutamanya tembakau dan alkohol) pula menurun di setiap rantau."
Pakar dalam suruhanjaya itu berkata tindakan segera perlu diambil untuk menangani ancaman terhadap kesihatan dan kesejahteraan remaja.
Mereka memberi amaran yang kemajuan dalam kesihatan remaja "jauh ketinggalan" berbanding peningkatan dalam kesihatan dan pembangunan kanak-kanak dan ia berisiko terjejas akibat peningkatan masalah kesihatan dalam kalangan remaja.
Mereka turut menyatakan bahawa pembiayaan semasa adalah "tidak sepadan dengan besarnya cabaran ini".
"Remaja tidak boleh lagi diabaikan ... masa untuk bertindak adalah sekarang," kata mereka.
Penulis laporan itu juga menekankan yang peralihan ke arah "dunia digital yang lebih meluas" boleh memberi "kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan masa depan golongan muda".
Namun mereka turut memberi amaran agar tidak "terlalu menyekat" akses kepada dunia digital, sambil menekankan bahawa dunia dalam talian menawarkan peluang baharu kepada remaja untuk berinteraksi secara sosial, mendapat pendidikan, pekerjaan dan promosi kesihatan.
Dalam pada itu, laporan itu turut menyatakan yang generasi remaja kini sebagai yang pertama membesar dalam keadaan iklim dunia yang semakin mencabar.
"Remaja masa kini adalah kumpulan manusia pertama yang akan hidup sepanjang hayat mereka sambil mengalami kesan berterusan perubahan iklim," kata mereka.
Pengerusi bersama suruhanjaya itu, Profesor Sarah Baird dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat berkata: "Kesihatan dan kesejahteraan remaja di seluruh dunia kini berada di titik kritikal, dengan kemajuan bercampur-campur sepanjang tiga dekad lepas.
"Walaupun penggunaan tembakau dan alkohol menurun serta penyertaan dalam pendidikan menengah dan tinggi meningkat, masalah berat badan berlebihan dan obesiti meningkat sehingga lapan kali ganda di beberapa negara di Afrika dan Asia sepanjang tiga dekad ini dan beban masalah kesihatan mental remaja juga semakin meningkat di seluruh dunia.
"Tambahan pula, cabaran yang dihadapi oleh remaja dunia berisiko menjadi lebih buruk akibat isu global yang sedang muncul termasuk perubahan iklim, konflik dunia dan peralihan pantas ke arah dunia digital.
"Pelaburan dalam kesihatan dan kesejahteraan golongan muda amat penting untuk melindungi masa depan bersama kita."
Penulis laporan suruhanjaya itu menegaskan bahawa "pelaburan dalam kesihatan remaja akan menjadi semakin penting sepanjang abad ke-21", sambil berkata "apabila populasi semakin menua dan kadar kesuburan menurun walaupun di negara paling miskin, memastikan kesihatan dan kesejahteraan remaja akan menjadi kunci kepada kesihatan dan kemakmuran setiap negara."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami