Skip to main content

Malaysia

Yusuf Bahrin, Zizi Kirana bercerai talak satu

Sumber: Astro GEMPAK
Rumah tangga Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pada Khamis.

TANDA tanya mengenai spekulasi rumah tangga pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana akhirnya terlerai apabila mereka sah bercerai talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pada Khamis.

Yusuf atau nama lengkapnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Zizi di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.

Menurut peguam yang mewakili Zizi yang dikenali sebagai Haiza, perceraian itu berlaku selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Advertisement

“Hari ini adalah satu permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 yang mana pihak-pihak iaitu Zizi dan juga Yusuf, kedua-duanya bersetuju untuk permohonan perceraian ini.

“Dan pada hari ini di mahkamah ini, di hadapan Yang Arif Tuan Muhammad Syaifullah Hamza telah direkodkan satu lafaz cerai oleh Yusuf terhadap Zizi dengan talak satu secara raj’ie.

“Jadi, kedua-duanya dapat menjalankan kes pada hari ini dengan baik dan itu sahajalah yang kita nak jelaskan pada hari ini ya,” kongsinya.

Sementara itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil enggan memberikan komen lanjut mengenai perceraian ini.

“Saya tak ada nak komen apa-apa, semuanya dah selesai.

“Terima kasih semua, maaf tunggu lama,” luah Zizi.

Sebelum ini, timbulnya spekulasi mengenai rumah tangga mereka yang didakwa berantakan selepas dilihat menyambut perayaan Aidilfitri secara berasingan.

Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada September 2021. Sehingga kini, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata. - Gempak

Must Watch Video