Menjelang pelancaran BlackBerry 10 di Malaysia pada 20 Februari ini, laman web Malaysian Wireless berkongsi mengenai ura-ura peranti terbaru BlackBerry itu akan dijual pada harga RM2,188.

Ura-ura mengenai harga tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan pemerhati teknologi.

Ramai beranggapan harga tersebut agak tidak kompetitif berbanding peranti lain yang ditawarkan di pasaran.

Sebelum ini, ramai meramalkan peranti terbaru BlackBerry itu akan dijual di bawah harga RM2,000 jika BlackBerry ingin bersaing dan menjadikannya pilihan utama semula.

Maxis akan menjadi yang pertama menawarkan peranti ini di Malaysia diikuti syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang lain.

Dijangkakan perang harga akan berlaku melihatkan kepada penembusan penggunaan BlackBerry yang agak tinggi di Malaysia.

Semestinya pengguna BlackBerry sedia ada tidak sabar mendapatkan peranti terbaru itu yang akan mula dijual pada awal Mac depan.