SELAIN destinasi pantai atau kepulauan yang mempunyai pemandangan yang indah, Malaysia juga turut memiliki pelbagai muzium-muzium yang menarik dan layak dikunjungi oleh orang ramai. 

Malaysia kaya dengan sejarah dan memiliki pelbagai artifak yang menarik yang dipamerkan di muzium-muzium di seluruh negara. 

Kini, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), orang awam akhirnya dibenarkan untuk merentas negeri dan bersiar-siar bersama rakan-rakan dan ahli keluarga sambil mengamalkan penjarakan sosial serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 

Orang ramai boleh memberikan sokongan terhadap muzium-muzium ini untuk melanjutkan kelangsungan operasi mereka sambil menimba ilmu yang bermanfaat tentang evolusi ketamadunan masyarakat tempatan pada zaman silam. 

Berikut Astro AWANI senaraikan lima muzium menarik yang boleh dilawati:


1.  Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur

Muzium Kesenian Islam yang terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur merupakan Muzium kesenian Islamik terbesar di rantau Asia Tenggara.

Mula dibuka pada Disember 1998, muzium ini dibina dan diuruskan oleh Yayasan Al-Bukhary, sebuah yayasan yang diterajui oleh Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperingati zaman puncak kegemilangan Islam di mata dunia.

Terdapat lebih 7,000 artifak berkenaan kesenian Islam purba yang dipamerkan dari pelbagai tamadun termasuklah India, Cina, Iran dan sekitar perantauan Asia Tenggara juga.

Antara artifak menarik yang dipamerkan termasuklah model binaan Masjidil Haram di Mekah dan kitab suci Al-Quran bersaiz sebesar ibu jari!

.


2.  Muzium Padi, Alor Setar

Terletak di ‘negeri jelapang padi’, Muzium Padi terletak di Gunung Keriang, Alor Setar dan mempamerkan artifak serta mesin-mesin penanaman serta pemprosesan padi.

Pengunjung diberikan pengenalan terhadap elemen kebudayaan, penyelidikan serta dan pembangunan tentang teknologi padi.

Turut menarik perhatian ialah struktur pembinaan muzium tersebut yang menyerupai gantang, digunakan untuk menyukat berat beras.

Muzium ini menerangkan proses penanaman padi, memaparkan pelbagai jenis padi, peralatan dan alat yang digunakan dalam penanaman padi sepanjang zaman dan di pelbagai negara.

.



3.  Muzium Samudera / Muzium Maritim Melaka

Menyebut tentang soal reka bentuk, Muzium Samudera yang terletak di bandar Hilir Melaka ini tidak patut dilepas pandang.

Terletak bersebelahan dengan Sungai Melaka, Muzium Samudera ini terbahagi kepada tiga bahagian muzium utama iaitu Muzium Samudera Fasa I dan II serta Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Reka bentuk luaran Muzium Samudera Fasa I iaitu sebuah replika kapal Flor De La Mar milik Portugis ini tentunya menarik perhatian orang ramai.

Selain itu, Muzium Samudera Fasa II pula mempunyai beberapa galeri yang umumnya lebih kepada penceritaan tentang kepentingan dan keindahan alam samudera.

Manakala Muzium TLDM pula menempatkan pelbagai koleksi pameran menarik berkenaan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Difahamkan, lokasi ini juga turt menempatkan Kapal Ex KD Sri Terengganu iaitu sebuah kapal ronda milik TLDM yang sudah beroperasi selama lebih 31 tahun dan turut delangkapi dengan meriam besar.

.



4.  Muzium Peranakan Pulau Pinang

Terletak di sebuah rumah agam di Lebuh Gereja, Georgetown, Muzium Peranakan Pulau Pinang mempamerkan warisan budaya kaum Peranakan.

Rumah agam tersebut pernah dimiliki oleh seorang usahawan berbangsa Cina yang bernama Kapitan Chung Keng Kwee pada abad ke-19.

Rumah agam ini telah lama dilupakan namun berjaya dibangunkan semula apabila seorang arkitek tempatan yang bernama Peter Soon membeli rumah agam tersebut dan melakukan kerja-kerja membaik pulih lalu menempatkan lebih 1,000 koleksi pameran artifak kaum Peranakan di Pulau Pinang.

Menariknya tentang lokasi ini, ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem hit, Crazy Rich Asians dan rancangan realiti Amazing Race.

.



5.  Muzium Tekstil Kuala Lumpur

Jika anda mahu mengenali sejarah warisan tekstil negara, Muzium Tekstil Kuala Lumpur yang terletak di Dataran Merdeka ada mempamerkan koleksi tekstil dari zaman pra sejarah dahulu.

Bertempat di salah satu mercu ikonik ibu kota, Muzium Tekstil Kuala Lumpur mula dibuka pada tahun 2010 dan mempunyai dua aras berbeza serta dibahagi kepada empat galeri berbeza iaitu:

I.   Galeri Pohon Budi
II.  Galeri Pelangi
III. Galeri Teluk Berantai
IV. Galeri Ratna Sari

Teknik pembuatan pakaian tradisi tempatan seperti pakaian istiadat kaum Iban, Pua Kumbu, Telupuk dan Songket juga boleh dilihat di sini.

Lebih menarik lagi, kemasukan ke muzium ini adalah percuma dan orang ramai boleh berkunjung ke muzium ini bersama seisi keluarga serta rakan-rakan apabila melawat ke ibu kota.

.

BACA: Kurator muzium sedunia isi kebosanan 'lockdown', pamer koleksi artifak aneh dan ngeri!