VANCOUVER:Mereka yang mempunyai darah jenis O didapati kurang berisiko dijangkiti COVID-19.

Kajian Jabatan Perubatan Universiti British Columbia dan Hospital Besar Vancouver, Kanada juga mendapati jika dijangkiti sekalipun, pemilik darah O mungkin tidak akan berada dalam keadaan kritikal.

Penyelidikan ini sekali gus menunjukkan jenis atau kumpulan darah berperanan dalam tahap kerentanan seseorang terhadap jangkitan, lapor CNN.

Namun, pakar menegaskan lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum membuat sebarang andaian.

Kajian mendapati daripada 7,422 individu positif COVID-19, hanya 38.4 peratus adalah daripada kalangan mereka yang memiliki darah jenis O, manakala 44.4 peratus pula daripada jenis A.

"Saya tidak fikir perkara ini meminggirkan faktor risiko lain, seperti usia dan tahap kesihatan," kata Dr Mypinder Sekhon, doktor unit rawatan intensif di Hospital Besar Vancouver yang juga penolong profesor klinikal di Bahagian Perubatan Penjagaan Kritikal dan Jabatan Perubatan di Universiti British Columbia.

"Jika anda dalam kumpulan darah A, tak perlu panik.

"Dan jika anda dalam golongan darah O, tidak bermakna anda bebas pergi ke pub dan bar," tambahnya.

Walaupun terdapat beberapa teori, para penyelidik belum mengenal pasti mekanisme yang dapat menjelaskan kaitan di antara kumpulan darah dan COVID-19.

Antaranya, pemilik darah jenis O kurang terdedah dengan masalah pembekuan dalam darah.

Pembekuan darah merupakan salah satu punca jangkitan COVID-19 menjadi lebih teruk.

Penjelasan lain yang mungkin melibatkan antigen kumpulan darah dan bagaimana ia mempengaruhi pengeluaran antibodi yang melawan jangkitan.

Ia juga boleh dikaitkan dengan gen berkaitan dengan jenis darah dan kesannya kepada reseptor dalam sistem kekebalan tubuh.