Dalam kenangan: Perginya 5 si comel pembawa inspirasi

Madiha Abdullah
Jun 22, 2020 00:33 MYT
Jep dan Bob, kedua-duanya punya pengaruh tersendiri. -Foto /Facebook
BAGI kebanyakan kita, kucing adalah haiwan peliharaan.
Namun bagi sesetengah yang lain, kucing adalah teman sejati.
Kehadiran si comel dalam hidup mereka bukan sahaja menjadi tempat bermanja, tetapi juga membantu mereka melalui fasa sukar dalam hidup.
Kelima-lima si comel ini sudah pergi, tetapi semangat yang dibawa pastinya akan kekal di hati mereka yang menyayangi.
Bob
Bob merupakan kucing peliharaan pemuzik jalanan, James Bowen. Selepas diambil sebagai peliharaan, kucing berbulu oren itu kerap menemani tuannya membuat persembahan.
Perjalanan mereka berdua diabadikan Bowen dalam buku berjudul "A Street Cat Named Bob".
Bowen, seorang bekas gelandangan, menyifatkan Bob sebagai penyelamatnya yang suatu ketika dahulu bertarung dengan ketagihan dadah, malah membantu memberinya kehidupan yang lebih baik.
BACA: RIP Bob: Kucing jalanan paling popular di London kini sudah tiada lagi
Lil Bub
Kucing betina ini dilahirkan dengan beberapa kecacatan, termasuk kerdil. Ia diselamatkan dari jalanan semasa masih kecil oleh Mike Bridavsky.
Bridavsky menyifatkan kehadiran Lil Bub sebagai "perkara yang tidak dirancang tetapi sangat membahagiakan".
Dia bertekad memastikan si comel itu dapat menjalani kehidupan yang normal dan sihat walaupun mempunyai pelbagai masalah kesihatan.
Grumpy cat
Grumpy Cat atau nama sebenarnya, Tardar Sauce, juga dilahirkan dengan beberapa kecacatan.
Ia juga menjadi punca mengapa wajahnya sentiasa nampak garang.
Grumpy Cat menjadi fenomena sehingga dijadikan inspirasi dalam beberapa projek seni serta barangan seperti minyak wangi, cenderahati, kasut Skechers dan komik, malah turut mempunyai jenama kopi, Grumppuccino.
Jep
Antara kucing selebriti popular tempatan, kematian Jep ditangisi ramai apatah lagi ia terjadi pada 1 Syawal tahun lalu.
Sepanjang hayatnya, Jep menjadi penghibur kita dengan mimik mukanya yang selamba, ditambah pula dengan kreativiti pemiliknya, Nor Azwana Awang, menghasilkan dialog lucu di setiap entri di laman sosial.
Hero
Kaki Hero atau Abam Iyo dipotong tanpa belas kasihan selepas dikatakan mencuri ikan dari sebuah restoran.
Hero diselamatkan 'Papa Hero', Mohd Hairey Yahya, yang bukan sahaja menjaganya hingga pulih tetapi juga memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Sehingga kini, Hero dianggap ikon bagi kempen menentang kekejaman terhadap haiwan.
#A Street Cat Named Bob #Abam Iyo #Bob #Grumppuccino #Grumpy Cat #haiwan peliharaan #hero #James Bowen #Jep #kucing #Lil Bub #Mike Bridavsky #Mohd Hairey Yahya #Nor Azwana Awang #Tardar Sauce #teman sejati