Iklan televisyen, baik yang mempromosikan produk tempatan mahu pun antarabangsa sering menjadi tajuk perbincangan di laman sosial. Setiap kali menjelangnya musim perayaan, pastinya iklan televisyen yang benar-benar menyentuh perasaan penonton akan menjadi tajuk perbualan ramai.

Iklan Petronas sering ditunggu-tunggu setiap kali tibanya musim perayaan. Pernah beberapa kali, iklan perayaan menjadi tajuk perdebatan umum apabila visual atau cerita yang dipaparkan menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini. Begitulah hebatnya penangan iklan kepada masyarakat di negara ini.

Menjelangnya Tahun Baru Cina tahun ini, dua iklan yang menjadi bualan adalah iklan yang bertajuk 'Tau Fu Fah' oleh Petronas dan 'Ka Fan' oleh Bernas. Setiap iklan, ada ceritanya yang tersendiri.



Tau Fu Fah mengisahkan seorang peniaga muda yang bertemu dengan kekasih hatinya setelah wanita tersebut tertarik dengan tau fu fah jualannya.

Perayaan sering dilihat sebagai satu masa untuk kita memperbaiki diri sekaligus memberikan harapan kepada yang meraikannya. Pada masa tersebut, kita akan menoleh semula menilai apa yang telah kita lalui dan kemudiannya memandang terus ke hadapan untuk menjadi yang lebih baik.

Tema ceritanya berkisar kepada kehidupan yang penuh cabaran, bagaimana untuk kekal bersama waktu suka dan duka dan terus berpegang pada harapan untuk masa depan yang lebih gemilang. Semuanya bermula pada satu pertemuan sepasang kekasih di sebuah gerai menjual tau fu fah.



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bernas sering menghidangkan iklan yang benar-benar berkesan kepada penonton.

Iklan Ka Fan oleh Bernas menekankan tanpa mengira saiz sesebuah keluarga, bagaimana pentingnya untuk mereka berkongsi masa bersama dan menjadikannya kenangan yang paling berharga.

Iklan arahan Ho Yuhang itu turut mengajak penonton melihat kepentingan menghabiskan masa bersama keluarga, bukan semata-mata untuk meraikan perayaan sahaja.

Tentu sekali setelah menonton iklan tersebut akan membuatkan anda terfikir apakah sebab sebenar di sebalik seorang ibu yang beria-ria mahu menambahkan nasi dalam pinggan kita setiap kali kita menikmati hidangan.

Hanya bersandarkan visual dan cerita yang disampaikan, iklan manakah yang paling anda sukai sempena Tahun Baru Cina ini?