MEMBANTU menyesuaikan kehidupan masa kini yang lebih rumit serta jurang yang wujud dalam perkhidmatan intervensi bagi fasa remaja dan dewasa adalah antara cabaran utama ibu bapa membesarkan anak autisme.
Walaupun terdapat limitasi akses kepada perkhidmatan intervensi, namun ibu bapa perlu membawa mereka berdepan dengan cabaran akan datang yang tidak pernah dialami oleh ibu bapa lain pada fasa sebelum ini.
Menurut Pakar Psikiatri yang juga Penolong Profesor Jabatan Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria, pendidikan dan kerjaya antara aspek perkembangan yang perlu diberi perhatian ketika proses membantu anak autisme membesar.
Aspek ini juga, katanya dilihat sebagai satu cabaran besar memandangkan masih ada jurang dalam intervensi yang memberi tumpuan kepada perkembangan fasa remaja dan dewasa.
“Terdapat kelompongan dari segi perkhidmatan dan sokongan yang ibu bapa boleh sediakan untuk mereka kerana intervensi pada fasa remaja dan dewasa tidak banyak diberikan perhatian ketika ini.
“Cabaran lain pula adalah membantu mereka untuk berupaya beradaptasi dengan perkembangan pendidikan, kerjaya dan kehidupan yang lebih rumit hari ini. Misalnya, pendedahan terhadap dunia digital yang boleh mengundang tekanan kepada sebahagian anak autisme,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, mengakui keupayaan ibu bapa untuk memberikan sokongan penuh kepada perkembangan anak autisme masih lagi terhad.
“Walaupun sudah semakin banyak pusat-pusat intervensi awal, namun ia masih tertumpu di bandar-bandar besar dan kosnya masih agak tinggi, terutama yang ditawarkan oleh swasta.
“Pihak hospital kerajaan pula terhad dari segi kapasiti sumber manusia seperti pegawai intervensi, pakar terapi pertuturan dan jurupulih carakerja,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, mengulas lanjut mengenai penekanan dan kaedah yang perlu diketahui oleh ibu bapa dalam berdepan situasi mencabar negara ketika ini, Dr Rozanizam menyarankan agar keperluan asas anak autisme sentiasa terjaga selain memastikan rutin kehidupan seharian mereka teratur.
“Jelaskan kepada anak-anak perubahan yang dijangka berlaku dengan bahasa yang mudah difahami seperti kaedah visual atau penceritaan dan sibukkan mereka dengan aktiviti bersama,” katanya.
Beliau yang menyambut baik kelonggaran diberikan oleh pihak kerajaan dalam memberi kebenaran ibu bapa membawa anak autisme ke sesi terapi, berkata keadaan ini penting kerana aktiviti rutin di luar juga memberi impak positif kepada anak-anak ini.
Namun, jelasnya, sudah tentu ia perlu dilakukan dengan mengikut saranan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengulas isu sama, Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie, berkata menjadi satu dilema yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa memikirkan nasib anak-anak autisme setelah meningkat remaja dan memasuki alam dewasa.
Jelasnya, di Malaysia, keperluan program peralihan (transition) individu autisme ke alam dewasa masih terlalu kekurangan jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain.
“Pada masa ini hanya terdapat segelintir usaha daripada keluarga yang mempunyai anak autisme dan juga syarikat tertentu.
“Namun, usaha ini masih perlu diteruskan dengan penambahbaikan serta sokongan kerajaan bagi memberikan peluang kepada remaja autisme untuk bekerja,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan intervensi awal terutamanya di luar bandar juga dilihat masih kekurangan untuk memenuhi keperluan anak-anak di bawah usia tujuh tahun.
Jelasnya, inisiatif-inisiatif kerajaan, pusat perkhidmatan bukan kerajaan dan pusat perkhidmatan intervensi awal swasta dilihat amat bertepatan dengan keperluan masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, katanya, masih terdapat kekangan tertentu seperti faktor logistik, sumber kewangan dan kemampuan ibu bapa bagi mendapatkan perkhidmatan secara menyeluruh.
Diminta mengulas isu stigma masyarakat yang memandang mudah terhadap kebolehan anak autisme, Dr Rahima berkata ia lebih ketara jika dilihat pada situasi mereka yang mempunyai gejala tingkah laku yang agak mencabar dan sukar dikendalikan sehingga menyebabkan mereka dan keluarga disisihkan.
“Saya lebih ingin mengajak masyarakat untuk melihat kepada beberapa tokoh ternama dunia yang dikatakan mempunyai autisme dan dianugerahkan bakat luar biasa seperti Woody Allen, Sir Anthony Hopkin, Susan Boyle dan Jerry Seifeld.
“Mereka merupakan individu hebat yang terbukti mampu memberikan sumbangan positif dengan cara yang tersendiri,” katanya lagi.
Autisme kebiasaannya lebih dikaitkan dengan masalah ketidakupayaan intelek iaitu IQ di bawah paras 70.
Bagaimanapun, menurutnya, ada segelintir anak-anak autisme yang didapati mempunyai daya intelek (IQ) yang tinggi (menyamai genius) dan tidak kurang juga mempunyai tahap kebolehan luarbiasa (autistic savant) seperti menghafal, kebolehan dalam seni, muzik, matematik, komputer dan sebagainya.
Justeru, beliau mengingatkan kepentingan untuk ibu bapa dan masyarakat melihat anak-anak autisme sebagai individu yang mempunyai kepelbagaian kebolehan dan kekurangan, seperti mana kita melihat individu yang lain.
“Walaubagaimanapun, bagi meningkatkan fungsi dan kemahiran individu autisme ini, mereka memerlukan intervensi awal yang betul berserta sokongan, rangsangan, tunjuk ajar dan kasih sayang yang berterusan daripada ibu bapa dan semua pihak,” katanya.
TRIVIA:
* Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut setiap tahun pada 2 April.
* Autisme ialah sejenis gangguan perkembangan saraf yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada fasa perkembangan mereka menerusi tiga aspek penting iaitu kemahiran komunikasi, kemampuan bersosial dan tingkah laku yang berulang atau minat yang terhad.
* Ia empat kali lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
* Walaupun masih belum diperolehi ubat atau rawatan khusus, usaha untuk intervensi awal amat penting untuk proses pemulihan dan peningkatan kemahiran terutama bagi persediaan mereka untuk persekolahan dan alam dewasa.
Najmi Syahiran Mamat
Thu Apr 02 2020

Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut setiap tahun pada 2 April. - Gambar Astro AWANI / Goh Pei Yee

Cetak Rompak | Rakaman di sebalik tabir mampu buka mata masyarakat
Impak aktiviti cetak rompak bukan hanya menjejaskan syarikat penyiar kandungan kreatif malah ia memberi kesan kepada semua pihak terutama bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam pembikinan sesuatu kandungan. Namun saban hari, perkara ini bagai tiada penghujungnya, apabila masih ada yang memilih untuk menonton kandungan secara haram.

Warisan | Surat letak jawatan adun sebatik digunapakai
Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan menghantar surat peletakan jawatan Hassan A. Gani Pangiran Amir kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sebagai mengotakan ikrarnya untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN Sebatik jika melompat parti.

Perikatan Nasional | Dakwaan Muhyiddin sebagai puppet Tun M tidak benar
Dakwaan mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai puppet atau boneka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menggerakkan agenda tersendiri adalah tidak benar sama sekali.

Perikatan Nasional | Kerajaan PN terus berfungsi walaupun mencabar
Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat mampu menguasai keseimbangan dari sudut politik, ekonomi dan sosial meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh setahun pentadbiran Perikatan Nasional. Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, meskipun berhadapan dalam keadaan sukar, perdana menteri tetap berupaya membawa kepada penyatuan parti politik.

Lelaki rentung kebakaran di perumahan setinggan
Seorang lelaki berusia 48 tahun maut dalam insiden melibatkan perkampungan setinggan di Taman Pandan Jaya pada Isnin malam.

10 Berita Pilihan - (01 Mac 2021)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.

10 berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
10 berita tempatan yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 1 Mac 2021.

Consider This: Perikatan Nasional (Part 1) - How To Measure Success?
March 1st marks one year of Tan Sri Muhyiddin as the 8th Prime Minister of Malaysia, after the parliamentary coup that ousted the Pakatan Harapan government - infamously known as the ‘Sheraton Move’. In the past year, Malaysia has had to grapple with the triple-threat of health, political, and economic crises. How has the Perikatan Nasional government fared in its first year? Melisa Idris and Sharaad Kuttan speak to political scientist Wong Chin Huat.

PSR: Kerajaan Pulau Pinang lulus sagu hati RM500 untuk nelayan
Bayaran akan mula dibuat pada minggu ini bagi mereka yang telah mendaftarkan maklumat dengan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

Muhyiddin sebagai 'puppet' Tun M? Teori ini tidak benar - Marzuki
Pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan pihak-pihak tertentu, pendirian beliau adalah jelas.

Fasa peralihan mendewasakan anak autisme, cabaran generasi baharu
Membantu menyesuaikan kehidupan kini yang lebih rumit serta jurang yang wujud dalam perkhidmatan intervensi bagi fasa remaja dan dewasa adalah antara cabaran utama ibu bapa membesarkan anak autisme.