Banjir: Kerajaan Perak aktifkan JPBN, gerakkan aset ke kawasan terjejas

Perak dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak pagi semalam membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung. - Foto Bernama
IPOH: Kerajaan Perak telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mulai malam tadi susulan situasi banjir yang memburuk di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) susulan banjir di Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung, dengan 74 aset keselamatan digerakkan untuk operasi pemindahan dan menyelamat.
- Sebanyak 2,171 penduduk daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) selepas hujan lebat menyebabkan kawasan terjejas dinaiki air.
- Kerajaan negeri menasihatkan penduduk agar berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, dan tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai sepanjang tempoh hujan berterusan.
"Selain itu, turut digerakkan 12 kenderaan pacuan empat roda (4WD), 13 khemah (Collapsible Tent atau C-tent) dan pelbagai peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan lampu sorot mudah alih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saarani berkata tambahan aset kenderaan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh.
Beliau berkata pada masa yang sama, pejabat-pejabat daerah bersempadan seperti Kerian, Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak turut digembleng bagi membantu menyediakan aset dan kelengkapan logistik, termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).
Saarani berkata kerajaan negeri menasihati semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini.
"JPBN bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan semasa dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
"Aset logistik tambahan telah ditempatkan di lokasi strategik, manakala penghantaran bekalan keperluan asas dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap PPS mendapat bantuan yang mencukupi dan tepat pada masanya," katanya.
Setakat 8 pagi tadi, sebanyak 2,171 penduduk daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 PPS di daerah LMS serta Manjung apabila hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dinaiki air.
Antara kawasan terjejas di LMS ialah Kampung Sungai Baru, Kampung Salak Baru, Kampung Sungai Lubok, Kampung Masjid, Taman Kota Wira, Taman Kemunting Tiara, Taman Lara Aman, Taman Lara Damai dan Kampung Changkat Larah, Taman Kaya dan Taman Damai.
Di Manjung pula, kawasan terjejas antaranya ialah Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang, Kampung Lorong Masjid, Taman Anggerik dan Kampung Pulau Kabung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


