Apabila menyebut ular sawa, pasti ramai yang berasa geli dan takut untuk mendekatinya, apatah lagi menyentuh reptilia itu.

Namun, ia bukan masalah bagi Suzaity Mat Said, yang banyak menghabiskan masa - hampir 24 jam dengan haiwan peliharaannya itu.

Gadis berusia 23 tahun ini memelihara pelbagai jenis ular sawa sejak belasan tahun lagi.

Dia pernah memelihara tujuh ekor ular sawa di kediamannya.

"Ular saya ini, Tina, sudah berusia tiga tahun. Asal ambil dia dalam setahun... dia baik, tiada masalah buat masa ini dan dia manja sikit.

"Bino pula jenis senang dibawa berjalan, dia tidak ganas dan manja," kata gadis yang berasal dari Rawang ini.

Minat terhadap reptilia ini timbul selepas melihat ramai antara kenalannya yang memelihara ular sawa.

"Paling banyak saya pernah ada ialah sebanyak tujuh ekor tetapi ketika itu bukan sebesar ini. Mula-mula kecil, sampai dah masuk tiga tahun lebih, dah besar macam ini," katanya.

Gadis ular
Aksi Suzaity bersama ularnya sering mencuri perhatian ramai. - Foto Astro AWANI

Tidak susah untuk menjaga ular ini, hanya beri makan ayam dua minggu sekali dan pastikan ia disimpan di kawasan yang selamat.

"Nak jaga mereka sebenarnya tiada masalah. Kita kena main dengan dia selalu sebab kadang-kadang kalau kita tak pegang dalam sebulan, dia boleh jadi garang.

"Kita juga kena mandikan dia, kena main dengan dia dalam sejam atau dua jam baru kurang sikit garang dia," ujarnya.

Malah, apa yang bermula hanya sekadar hobi, ular peliharaannya itu kini memberi pulangan pendapatan kepadanya.

"Daripada hobi saya teruskan untuk menjana pendapatan. Pendapatan ini saya gunakan juga untuk makanan harian mereka," katanya.

Suzaity kini sering dijemput untuk membuat pameran ular sawa sama ada di peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mahupun di acara-acara komersial.

Ujarnya, dia akan terus memelihara kesemua ular sawanya itu kerana dirasakan sudah sebati dengan haiwan peliharaannya.

"Saya akan tetap membela mereka walau apa pun jadi. Saya tidak akan jual walaupun sudah berkahwin dan memiliki anak kelak," kata Suzaity.