Skip to main content

Sukan

Whitney ungguli gelaran bawah 19 tahun selepas cuti rehat SPM

KUALA LUMPUR, 5 April -- Atlet skuasy remaja negara, Whitney Isabelle Wilson menerima piala juara bagi kategori perempuan bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Antarabangsa SRAFTKL 2026 tajaan Touch 'n Go di Pusat Skuasy Nasional hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Whitney menerima piala juara bagi kategori perempuan bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL 2026 di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur, 5 April 2026. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy kebangsaan Whitney Isabelle Wilson mencatatkan kemunculan semula yang baik selepas merangkul gelaran bawah 19 tahun perempuan Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa SRAFTKL 2026, semalam.

Pemain berusia 18 tahun itu yang berehat tiga bulan untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menggunakan kelebihan pengalamannya untuk mengatasi seorang lagi pemain remaja negara Jinoreeka Ning, 12-10, 6-11, 11-5, 11-4, di Pusat Skuasy Jalan Duta.

Advertisement

Whitney menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suatu keputusan yang baik selepas berehat dan menyatakan bahawa tempoh rehat itu juga membolehkan beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

“Saya berasa segar kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan. Selepas rehat untuk SPM, saya pulih dengan baik dan kini bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Walau bagaimanapun, Whitney mengakui cabaran yang diberikan Jinoreeka, 15, namun pengalaman yang ada pada dirinya menjadi faktor penentu selepas dua set awal yang sengit, termasuk tewas pada set kedua.

"Saya tidak pernah lawan beliau sebelum ini, jadi saya bermula dengan bermain seperti biasa. Namun apabila ia tidak menjadi, saya terpaksa menukar strategi. Ia agak berisiko, tetapi saya tahu saya perlu mencuba,” katanya.

Beliau berkata kemenangan itu hadir pada saat penting dalam kerjayanya ketika beliau bersedia untuk beralih sepenuhnya ke peringkat senior, dengan cabaran seterusnya ialah kejohanan PSA di Chennai, yang akan disertainya selepas ini.

“Saya sudah bersedia untuk peringkat senior. Saya melihat diri saya sebagai bukan pilihan, jadi saya teruja kerana tiada tekanan,” katanya.

Di luar gelanggang, Whitney yang merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil turut cemerlang dalam akademik apabila memperoleh 6A dan 2B dalam SPM dan telah menerima tawaran daripada beberapa universiti berprestij termasuk Columbia, Stanford, Harvard dan Princeton, namun masih mempertimbangkan pilihannya.

“Saya sedang mempertimbangkan untuk kekal di universiti tempatan supaya dapat mengimbangi pelajaran dan skuasy, tetapi saya belum membuat keputusan muktamad,” katanya.

Menjadikan legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David sebagai sumber inspirasi, beliau kini menyasarkan untuk menguji kemampuan menentang pemain senior terbaik, termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand K. Sehveetrraa, yang setakat ini hanya pernah ditemuinya dalam latihan.

Sementara itu, pemain dari Sarawak Altamis Aqhar Sallam, muncul juara kategori lelaki bawah 19 tahun selepas menewaskan seorang lagi pemain remaja negara Aqil Mirza Naim Khairil, 11-6, 8-11, 11-3, 12-10.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video