TEXAS: Juruterbang Southwest Airlines mengugut untuk membatalkan penerbangan selepas seorang penumpang menghantar gambar bogel kepada beberapa penumpang lain.

Gambar itu dihantar melalui aplikasi pemindahan fail Apple, AirDrop dan ia berlaku semasa pesawat hendak berlepas dari Lapangan Terbang William P. Hobby, Houston ke Cabo San Lucas, Mexico.

"Beginilah, kalau ini berterusan, kita akan kembali ke pintu pelepasan, semua orang turun, saya akan laporkan pada pihak keselamatan dan impian percutian anda akan musnah.

"Jadi siapa pun anda, tolong berhenti menghantar gambar bogel dan mari kita pergi ke Cabo," kedengaran juruterbang itu berkata dalam video yang menerims lebih 2.7 juta tontonan di TikTok.

Seorang penumpang, Teighlor Marsalis yang merakam video itu memberitahu CNN, dia dan rakannya baru sahaja menaiki pesawat apabila menerima pemberitahuan tentang fail yang dikongsi melalui AirDrop.

Marsalis berkata, dia tidak menerima fail itu, tetapi dua wanita di tempat duduk hadapan menerimanya dan menunjukkan foto berkenaan.

"Seorang lelaki menghantar gambar bogelnya kepada semua orang," kata Marsalis.

"Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan pekerja adalah keutamaan tertinggi pasukan Southwest pada setiap masa. Apabila dimaklumkan, petugas kami menangani isu ini untuk memberi keselesaan kepada mereka yang melancong bersama kami," kata Southwest Airlines dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Marsalis berkata, juruterbang berkenaan sangat profesional dan mengendalikan keadaan dengan baik.

Pesawat itu berlepas kira-kira 10 minit kemudian.