awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Arab Saudi catat lebih 11.9 juta jemaah umrah pada bulan Jumada al-Akhirah
UNMISS: 13 Pegawai PDRM selamat tiba di tanah air dari Sudan Selatan
Kanak-kanak 10 tahun maut dalam kemalangan di Kuala Krai
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Gastrulinari Ala Malaysiana

Prof Madya Dr Ramzah Dambul
Prof Madya Dr Ramzah Dambul
28/12/2018
10:31 MYT
Gastrulinari Ala Malaysiana
DR RAMZAH: Mulai 2019, ikuti saya setiap minggu mengembara secara gastrulinari gaya Malaysiana. - Gambar fail
MALAYSIA bertuah kerana makmur dengan kepelbagaian makanan. Ini warisan ratus tahun, natijah pertembungan unik kulinari China dan India, lalu memperkayakan lagi gastronomi tempatan yang sudah lama wujud asli di Nusantara.
Tapi makanan dalam konteks komuniti Malaysia, bukan sekadar santapan mengisi perut. Ia sudah terolah sebagai sub-budaya yang merentas pelbagai aspek kehidupan.
‘Mengidam’ menggambarkan keinginan ibu-ibu mengandung terhadap sajian-sajian tertentu. Selalunya yang bersifat eksotik dan elusif; misalnya, mengidam ketam rebus yang ditanak dengan tangan suami sendiri. Aduh!
Dalam komuniti Momogun Kadazandusun, ‘moginakan’ (kenduri komuniti) adalah teras muafakat semasa sambutan Kaamatan. Ini juga satu manifestasi budaya gastronomi dengan citra etnik yang ulung.
Moginakan merupakan kenduri komuniti yang jadi teras sambutan Kaamatan - Foto Ramzah Dambul
Moginakan merupakan kenduri komuniti yang jadi teras sambutan Kaamatan - Foto Ramzah Dambul
Ketika kemelut perpecahan muncul di sana-sini, kulinari selalu jadi titik penyatuan. Bagi acara rumah terbuka perayaan pelbagai kaum, makanan tentunya satu tarikan terpenting. Menjamu maruku, kuih bulan dan ketupat — bagaikan mengunyah perbezaan yang ada, lalu menghadamnya sebagai satu ikatan sepunya.
Betapa tinggi peranan gastronomi selaku medan hubungan insani — hingga muncul istilah kontemporari ‘mengopi’ dan ‘membawang’ yang membawa konotasi persahabatan, meskipun dengan konotasi berbeza. Tapi cukup ramuan pahit, pedas, masam, masin dan manis.
Pun begitu, budaya gastronomi dan tradisi kulinari Malaysiana juga ada ancaman tersendiri. Sebagai contoh, penjajahan francais global yang bukan saja menawarkan citarasa kapitalis yang mahal, bahkan juga menyogoh jenis makanan yang tidak sihat.
Perubahan iklim pun ada kesan tersendiri, kerana ia memberi dampak pada isu kecukupan makanan (food security). Ia bukan saja soal kita tak dapat kuantiti yang perlu, tetapi juga soal kita hilang akses pada makanan yang serasi dengan citra sosiobudaya.
Gastrulinari merupakan gabungan perkataan gastronomi dan kulinari - Foto Ramzah Dambul
Gastrulinari merupakan gabungan perkataan gastronomi dan kulinari - Foto Ramzah Dambul
“Gastrulinari” (gastronomi + kulinari) memang merentas kehidupan manusia secara vertikal dan horizontal. Ia berkait intim dengan aspek sosiobudaya, ekonomi, sains teknologi, spiritual, politik dan seribu satu macam lagi.
Mulai 2019, ikuti saya setiap minggu mengembara secara ‘gastrulinari’ gaya Malaysiana — dari bermacam sudut pandang. Selamat menyambut tahun baru!

* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
Topic Berkaitan
#gastronomi
#Kolumnis AWANI
#kulinari
#makanan
#Malaysia
#moginakan
#nusantara
#ramzah dambul
#rem dambul
#Warisan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan