Antibiotik digunakan apabila perlu sahaja kerana jika digunakan secara meluas tanpa kawalan, ia akan menyebabkan rintangan kepada bakteria.

"Jangan guna antibiotik sembarangan kerana tidak semestinya semua penyakit perlu antibiotik," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal Untuk Pengurusan Penyakit Kuning di Hospital Tuanku Jaafar di sini hari ini.

Ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu mengenai antibiotik mudah dibeli, beliau berkata masalah itu bukan hanya di Malaysia malahan di seluruh dunia.

Mengenai garis panduan itu, Dr Noor Hisham berkata ia merupakan edisi kedua dengan edisi pertama dilancarkan pada tahun 2003.

"Dalam edisi kedua ini, kami juga memasukkan pengurusan garis panduan amalan klinikal untuk bayi yang tidak cukup bulan. Edisi kedua ini lebih lengkap iaitu bermula pemeriksaan sampai rawatan serta tatacara yang patut diikuti.

"Apa yang penting, berbeza edisi pertama dan kedua ialah edisi kedua ini berdasarkan kepada fakta dan kajian serta juga amalan yang diguna pakai di negara ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata garis panduan amalan itu untuk rujukan para doktor dan pakar sama ada di sektor awam atau swasta apabila mereka merawat pesakit atau bayi yang mempunyai penyakit kuning.

"Jadi, ada tanda aras rawatan untuk penyakit kuning. Ini mungkin garis panduan amalan klinikal yang baik dan kita menyeru dan menyarankan pihak swasta dan juga pihak awam serta pelajar perubatan untuk mengguna pakai garis panduan amalan sebagai rujukan dan untuk pembelajaran mereka," katanya.

Penyakit kuning dalam kalangan bayi baru lahir akibat tahap bilirubin yang tinggi dalam darah biasanya memerlukan rawatan perubatan.