COPENHAGEN: Soalan ‘bila hendak berkahwin’ sememangnya sering diajukan kepada individu bujang di dalam sesuatu masyarakat, terutamanya daripada golongan berusia mahupun dalam kalangan ahli keluarga.

Ayat dan soalan 'panas' itu pada kebiasaannya sering ditujukan kepada individu yang masih belum mendirikan rumah tangga meskipun usia mereka sudah mencecah 30-an.

Bagaimanapun memetik laporan CNN Indonesia, selain bertanya soalan, terdapat beberapa tradisi ‘pelik’ di sebuah negara yang diamalkan terhadap mereka yang lewat berkahwin.

Negara yang dimaksudkan adalah Denmark dimana wujud ritual dimana individu yang lewat berumah tangga akan ditabur dengan serbuk kayu manis pada hari-hari tertentu.

Kayu manis merupakan salah satu rempah ratus yang paling banyak digunakan dalam makanan, tetapi mengapa ia menjadi satu tradisi di negara itu?

Menurut laporan News18, ketika menyambut ulang tahun ke-25, warga Denmark yang masih bujang akan ditabur dengan kayu manis oleh ahli keluarga mereka.

Tradisi ini mungkin kelihatan seperti menghukum individu itu namun ia dilakukan sebagai peluang untuk ‘mengenakan’ dan sekadar hiburan semata.

Difahamkan, individu bujang berumur 25 tahun akan ditabur kayu manis dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dan adakalanya disiram air supaya kayu manis itu melekat di badan.

Jika individu itu dilihat tidak "terseksa", adakala kayu manis itu digaul telur untuk menambahkan keseronokan supaya kayu manis itu lebih melekat di badan.

Seorang lelaki memaklumkan bahawa tradisi ini berlaku di Denmark sejak ratusan tahun lalu apabila peniaga yang menjual rempah ratus mengembara dari sebuah bandar ke bandar hingga menyebabkan peniaga tidak dapat mencari pasangan untuk dikahwini dan membujang dalam tempoh yang lama.

Peniaga lelaki sebegitu dipanggil 'lada dudes' (Pebersvends), manakala wanita pula dipanggil 'lada maiden' (Pebermø).

Walaupun tradisi ini masih diamalkan di Denmark, penduduk di sana tidaklah memandang serong individu bujang berusia 25 tahun ke atas malah masyarakat di sana juga tidak menggesa agar penduduk untuk berkahwin awal.

Ini kerana, purata umur perkahwinan di negara itu bagi lelaki ialah 34 tahun enam bulan manakala bagi wanita pula pada usia 32 tahun.