KHIDMAT jurukamera dasar laut mendapat permintaan tinggi di pasaran jesteru membuka peluang yang luas bagi mereka yang meminati bidang fotografi dan videografi untuk menambah skil mereka.

Perkhidmatan mereka ini bukan sahaja untuk tujuan rekreasi, namun ia juga diperlukan bagi tujuan komersial yang memerlukan kepakaran jurukamera ini untuk mendapatkan gambar atau visual yang bermutu serta boleh mengendalikannya di dasar laut.

Jurukamera akan memastikan kamera mereka dalam keadaan baik sebelum turun ke dasar laut - Foto/PPTD

Bagi pengasas dan pemilik sebuah pusat selam skuba Raja Laut, Ismadi Ismail yang juga menawarkan perkhidmatan jurukamera dasar laut, permintaan perkhidmatan ini semakin meningkat ketika ini namun profesyen ini masih belum dipelopori ramai.

"Keperluan untuk rekreasi tidak sebanyak mana mungkin tidak banyak produksi berminat untuk sertai fotografi dasar laut.

"Yang mendapat permintaan tinggi adalah apabila ada event, komersial seperti untuk pemeriksaan bot dan kapal, jeti, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA)," kata Ismadi ketika ditemubual Astro AWANI di Pulau Lang Tengah, Terengganu.

Kamera dan peralatan yang digunakan bagi merakam gambar/video di dasar laut ini adakalanya memakan kos puluhan ribu Ringgit - Foto/PPTD

Kebanyakan mereka ini memulakan karier dengan menjadi jurukamera di darat terlebih dahulu, sebelum menambah skil bagi dasar laut serta memahami ciri fotografi dalam laut.

Ini bagi memahami bagaimana pengendalian kamera dan situasi di dar laut untuk menghasilkan gambar atau video berkualiti tinggi.

"Di dasar laut, mungkin fungsi sama seperti ada aperture, shutter speed, tapi pergerakan kamera dan penataan lampu sangat berbeza sebagaimana kita praktikkan di darat.

"Pemahaman mengenai ciri lautan itu juga perlu seperti kemampatan air dan itulah menyebabkan kita ada limitasi terutama untuk mendapatkan gambar berkualiti," jelas salah seorang jurukamera dasar laut, Mohamed Raziff Md Yusof.

Keapungan (buoyancy) sangat penting bagi memudahkan pergerakan jurukamera di dasar laut - Foto/PPTD

Antara kriteria yang diperlukan bagi menjadi seorang jurukamera dasar laut adalah memiliki lesen selam skuba dan memerlukan pengalaman selaman yang banyak bagi mendapatkan keapungan yang baik.

"Keapungan (buoyancy) yang bagus diperlukan supaya lebih mudah bergerak dan senang untuk mengendali peralatan.

"Kita juga perlukan ketenangan untuk dapatkan visual menarik dan tidak perlu terkejar untuk mendapatkan visual itu," jelas jurukamera dasar laut, Muhammad Nur Arif Supardi.

Penataan cahaya sangat penting dan memerlukan alatan yang canggih bagi membantu pengcahayaan di dasar laut - Foto/PPTD

Antara hasil gambar penulis (Hafizi Rosli) yang menarik berjaya dihasilkan oleh jurukamera dasar laut berpengalaman - Foto/PPTD

Setiap jurukamera ini juga perlu membuat mengadaptasi kepada keadaan semasa untuk mendapatkan hasil yang baik serta membuat penilaian risiko bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita juga perlu peka dengan keadaan sekeliling, dan membuat penilaian risiko.

"Ini kerana spesis laut banyak yang boleh membawa risiko kepada kita," tambah seorang lagi jurukamera dasar laut UMT, Tengku Iskandar Zulfahmie.

Sudah pasti, untuk mendapatkan perkhidmatan ini, nilainya tidaklah seperti perkhidmatan jurukamera di darat.

Ia sesuailah dengan kos kamera serta perlatan yang mencecah puluhan ribu Ringgit ini serta kemahiran yang ditawarkan oleh jurukamera ini.