BATU GAJAH: Suasana di pekan lama Papan, Pusing, dekat sini, yang mencecah usia hampir 200 tahun sungguh mempesonakan dengan kebanyakan orang ramai berbusana tradisonal pelbagai bangsa.

Hari Retro Pekan Lama Papan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia ini berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan penyertaan lebih 1,000 pengunjung pada Sabtu.

Keberadaan konvoi kereta, motosikal dan basikal klasik turut mengembalikan nostalgia zaman silam, selain pelbagai pengisian padat yang disusun khusus untuk para pengunjung.

Program ini dianjurkan dengan gabungan pelbagai agensi serta komuniti setempat di Papan, termasuk Majlis Daerah Batu Gajah, UiTM, Kumpulan Warisan Papan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Papan serta Persatuan Warisan Perak.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, ia merupakan kali kedua dianjurkan selepas mendapat sambutan hangat pada tahun lalu.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

"Tahun ini lebih meriah dengan penglibatan ramai pihak termasuk sekolah, pihak universiti dan persatuan. Kita dapat lihat pelbagai kaum hadir memeriahkan program dua hari ini.

"Tema tahun ini cenderung kepada pakaian tradisional, ramai yang mengenakan busana tradisi yang pasti menggamit kenangan silam bersempena Hari Malaysia 16 September," katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, pekan Papan sendiri mempunyai nilai sejarah tidak ternilai, kerana ia merupakan pekan perlombongan bijih timah tertua di Lembah Kinta.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Antara pengisian menarik yang ada di sini seperti pertandingan pakaian tradisi berbilang kaum, pertandingan bercerita sejarah Malaysia, perarakan kibar Jalur Gemilang serta lebih 20 reruai yang disediakan.

"Ramai pengunjung yang hadir untuk melihat keunikan yang ada di sini seperti lorong lukisan lantai, Galeri Warisan Papan, pokok banyan yang berakar di dinding, Masjid Papan, Rumah Asal Raja Billah serta Sybil Kathigasu Memorial.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

"Turut diadakan demonstrasi mendulang bijih timah di sini dan orang ramai boleh mempelajari bagaimana orang terdahulu mendapatkan bijih timah, diharapkan program sebegini dapat diteruskan untuk tahun mendatang di samping dapat meriahkan pekan ini," katanya lagi.

Papan mewakili beberapa nama lain seperti Kota Papan, Pengkalan Papan dan Klian Papan.

Menurut rekod awal orang Eropah, nama Papan dieja Pappan atau Pappin. Asal usul nama Papan dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan di situ.

Foto Astro AWANI