ALLAH S.W.T sebaik-baiknya telah merancang.

Setelah lebih sebulan mengharapkan isteri yang terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) kembali sihat, namun tepat jam 1.36 tengah hari (6 September) lalu akhirnya, Allah menjemput buat selamanya.

Pergi selepas 32 hari berjuang

Selama 32 hari berjuang demi suami, anak dan ahli keluarga, sudah tertulis takdir Siti Faiqah Sulaiman untuk meninggalkan dua anak yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.


Benar mati itu pasti tapi ini satu tamparan hebat buat suami arwah, Mohd Zulkifli Mohamad Isa.

Pemergian bidadarinya amat perit memandangkan anak sulung baru nak mencecah usia dua tahun dan anak kedua tak sempat kenal lagi ibunya setelah dilahirkan secara pramatang awal bulan Ogos lalu kerana ibu dijangkiti virus COVID-19. 

Organ dalaman gagal berfungsi

Menurut Mohd Zulkifli kepada Pa&Ma, arwah isteri kesayangan, Siti Faiqah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini Pa&Ma pernah menyiarkan kisah arwah yang bertarung nyawa selepas terpaksa melahirkan anak lebih awal kerana keadaan tak stabil selepas positif COVID-19.

Walaupun doktor dah sahkan arwah bebas COVID-19 sebelum meninggal dunia, namun disebabkan kegagalan organ dalaman yang tak dapat berfungsi dengan baik kesan virus, keadaannya jadi tidak stabil.

“Pada 30 Ogos, doktor ada beritahu keadaan isteri nazak. Tiada perubahan positif ditunjukkan. Saya cuba kuatkan hati, bertanya pada doktor sama ada pesakit yang dalam keadaa seperti isteri boleh sihat atau sebaliknya.

"Saya yakin selagi Allah tidak ambil nyawa isteri, keberangkalian untuk sembuh ada. Pada 1 September iaitu hari ulang tahunnya, doktor buat video call dan kami beri kata-kata semangat padanya. Keadaannya nampak sedikit positif tetapi kemudian kritikal semula,” katanya.

'Seminggu selepas hari kelahiran, arwah pergi ...' 

Tambah Mohd Zulkifli, seminggu selepas hari kelahiran, Isnin (6 September) pada hari terakhir arwah, sekitar jam 11 pagi, doktor ada membuat video call untuk memaklumkan isteri sedang nazak.

Hampir dua jam video call, saya sempat minta doktor di Hospital Ampang sambungkan panggilan sebab mahu tunjukkan bayi kami yang berada di sana.

Dengan harapan dia dapat lihat buat kali terakhir walaupun keadaannya dah tidak stabil.

“Saya juga sempat bisikkan kata semangat, “Awak kena kuat, awak kena lawan” dan dia pun minta saya pun kuat dalam keadaan dia yang semakin lemah itu. Sempatlah saya beritahu yang saya maafkan semua salah silapnya dan saya mohon ampunkan salah saya. Masa itu saya ajarnya mengucap dua kalimah syahadah, walaupun tiada kekuatan,” kongsinya dalam keadaan sebak.

Kongsi Mohd Zulkifli lagi, panggilan terputus sebentar kerana doktor ada kes kecemasan. Bagaimanapun dalam 30-40 minit selepas itu doktor hubungi semula memaklumkan isteri dah menghembuskan nafas terkahir tepat jam 1.36 petang.

“Perasaan waktu itu terasa kosong tambah lagi kami hanya sempat hidup bersama dalam tiga tahun saja. Masih baru lagi namun saya reda ketentuan Ilahi.

Walaupun rasa macam tidak percaya, hidup perlu diteruskan demi menjaga dua amanah yang arwah tinggalkan pada saya.


“Syukur alhamdulillah juga, saya berpeluang memandikan dan menurunkan arwah ke liang lahad. Arwah pergi ni pun dia dah bebas Covid cuma kesan sampingan tu yang menyebabkan dia pergi. Kiranya pelukan terakhir saya adalah semasa menurunkannya ke liang lahad.

Bayi dibenarkan pulang, ambil semangat ibunya

Betul ... Allah Itu Maha Adil.

Selepas tiga hari arwah pergi, doktor beri berita gembira buat saya, bayi yang dilahirkan arwah dah boleh keluar NICU dan dibenarkan pulang ke rumah.


“Bayi kami menunjukkan perkembangan positif walaupun lahir tak cukup bulan dan paru-paru pun masih belum matang sewaktu awal kelahiran.

Daripada apa yang doktor beritahu, sepanjang berada dalam NICU anak saya dapat capai hingga 2 kilogram dan dari sehari ke sehari semakin sihat. Sebab itulah doktor membenarkannya keluar.

“Kini kedua-dua anak dalam jagaan ibu mertua dan adik ipar sementara saya keluar bekerja dan uruskan beberapa urusan lain lagi. Insya-Allah kami akan jaga sama-sama,” ujarnya.

Mohd Zulkifi juga turut mengucapkan terima kasih atas semangat yang diberikan oleh rakan-rakan Facebooknya tiap kali dia berkongsi mengenai keadaan arwah.

Sehingga sekarang tak putus doa yang dikirimkan buat arwah. Terima kasih banyak-banyak, moga arwah isteri ditempatkan dikalangan orang beriman dan di syurga Allah. Amin.

Kredit: Mohd Zulkifli Mohamad Isa
 



Artikel asal diterbitkan di portal Pa&Ma.