INDAH. Damai

Itu dua kata yang paling sesuai menggambarkan perasaan penulis apabila pertama kali berkunjung ke tiga daerah di Sarawak, iaitu Bau, Santubong dan Kuching menerusi Program Lawatan Ekspresi Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia-Sarawak anjuran Tourism Malaysia dari 9 hingga 13 November lalu.

Ketiga-tiga daerah ini dilimpahi dengan kekayaan sumber alam semula jadi, gastronomi, budaya serta warisan masyarakat, sekali gus menjadikannya antara destinasi wajib singgah di dalam negara.

Justeru, dengan begitu banyak tarikan tersedia di tiga daerah ini, penulis kongsikan beberapa tempat menarik yang boleh anda kunjungi apabila ke sini nanti.

1. Bau




Penulis bersama-sama wakil media yang lain terdiri daripada media arus perdana dan pempengaruh memulakan eksplorasi ekopelancongan di daerah Bau dengan meneroka keunikan Sarawak Delta Geopark melibatkan geotapak Gua Pari-Pari dan Tasik Biru yang terbentuk hasil perlombongan emas seawal abad ke-19.

Turut diteroka ialah tarikan pelancongan terbaharu, Paku Rock Maze Garden, sebuah hutan batu semula jadi yang kaya dengan pelbagai formasi batuan unik.

Gua Pari-Pari (Fairy Cave)



Gua Pari-Pari atau bahasa Inggerisnya Fairy Cave merupakan gua batu kapur seluas 56 hektar, dan terletak kira-kira 40 kilometer (km) di Krokong, Bau, Sarawak.

Untuk ke sana, anda tidak perlu meredah hutan atau melalui perjalanan terlalu jauh sehingga ke pedalaman.

Ia mendapat nama sedemikian kerana bentuk batu stalagmite yang berada di bahagian pintu masuk gua dan strukturnya berbentuk seakan dewa bagi masyarakat Cina. 

Bagaimanapun, kebenaran kisah ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa batu yang berbentuk menyerupai manusia yang boleh anda jumpa di dalamnya. Ia juga dahulunya pernah dikatakan menjadi tempat askar Jepun untuk berselindung.



Terdapat tiga laluan (trail), iaitu Dark Trail, Twilight Trail dan Summit Trail (Trail Summit Gunung Kapur).

Bagi Dark Trail dan Twilight Trail boleh dikunjungi tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong, namun Trail Summit Gunung Kapur diwajibkan menempah pemandu pelancong diperakui pihak rizab bagi menemani pengembaraan anda sehingga ke puncak gunung.

Sesetengah tempat juga terasa berangin dan memiliki kehijauan mengasyikkan. Bagi anda yang mungkin pertama kali ke gua, jangan risau, turut disediakan laluan pejalan kaki dan tangga untuk memudahkan anda meneroka keindahannya.

Anda juga digalakkan untuk membawa lampu suluh, namun bukan semua kawasan di dalam gua ini gelap, kerana masih ada bahagian yang menerima sinaran cahaya matahari, serta dinasihatkan memakai kasut bertutup dan sekiranya terlupa, boleh menyewa kasut getah dengan bayaran RM3.



Selain itu, anda pasti akan jatuh cinta melihat pemandangan air yang mengalir serta kelibat kelawar-kelawar yang berkeliaran di dalam gua ini.

Ia juga sering menjadi pilihan utama bagi penggemar sukan lasak seperti mendaki batu 'rock climbing'.

Tasik Biru



Terletak kira-kira 35km dari Bandaraya Kuching, Tasik Biru berukuran 390 meter (m) panjang, 160 m lebar dan 45 m dalam, serta memanjang dari arah Timur laut-Barat daya, sangat mudah diakses kerana terletak di tepi jalan raya.

Dahulunya ia merupakan tapak perlombongan emas yang terkenal di Sarawak dan tasik ini terbentuk hasil perlombongan emas oleh pelombong Cina Bau, iaitu Tai Parit Kongsi seawal abad ke-19.

Kini, tasik ini dikomersialkan dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, kedai makan dan taman rekreasi, chalet (landed & floating) untuk anda bermalam menghadap permandangan tasik yang menenangkan jiwa.



Kira-kira 1,000 pengunjung hadir pada hujung minggu dan menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti perahu dayung, berkayak dan kafe untuk melepak minum/makan bersama kawan atau tersayang.

Paku Rock Maze Garden



Tarikan pelancongan terbaharu di Bau, merupakan hutan batu yang memaparkan pembentukan batu semula jadi.

Ia ditemui dan dibangunkan akhir 2021, dan hanya sebuah hutan primitif terletak di tepi jalan berdepan dengan SMK Paku dan tepat di belakang kuil Cina.

Dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 2 September lalu.



Seluas empat ekar yang mana satu ekar adalah hak milik kuil dan tiga ekar lagi di bawah tanah negeri.

Pemandangan gua dan stuktur semula jadi batuan di sini adalah aset utama tarikan pelancong di taman berkenaan. Sangat cantik untuk bergambar!

2. Santubong



Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Santubong yang merupakan pusat kepada rumah peranginan pantai dan pameran kebudayaan terbaik di Sarawak.

Di sini, kami dibawa melawat Kampung Budaya Sarawak, Permai Rainforest Resort serta peluang bermalam di The Culvert Hotel & Resort.

Kampung Budaya Sarawak



Ia digelar sebagai Muzium Kehidupan dan telah memenangi pelbagai anugerah. Memiliki keluasan 17 ekar, anda akan merasai dan mempelajari budaya dan cara hidup etnik-etnik utama di Sarawak.

Terdapat replika rumah yang mewakili setiap etnik utama tersebut, antaranya Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melanau, Melayu dan Cina.

Setiap rumah juga dihuni oleh kumpulan etnik yang berpakaian dan menjalankan aktiviti tradisional masing-masing. Mereka juga bertindak selaku pencerita kepada pengunjung.



Dalam pada itu, pengunjung turut dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan sebanyak dua kali sehari bermula 11.30 pagi and 4 petang. Kraftangan tradisional masyarakat Sarawak juga dipamerkan di sini.



Menariknya juga di sini, ada disediakan tempat untuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara etnik Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu, selain boleh menjamu selera di restoran Kampung Budaya, dan merasai beberapa hidangan tempatan terbaik Sarawak.

Permai Rainforest Resort



Menawarkan pengalaman berada di hutan hujan Borneo dengan pelbagai tawaran aktiviti pantai menghadap Laut China Selatan serta kegiatan rekreasi dan penginapan rumah atas pokok yang sangat mendamaikan!

Ia adalah tempat yang unik dengan keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologi bermula dari aktiviti meredah hutan, papan kayuh berdiri hingga menonton ikan lumba-lumba, semua peringkat umur boleh menikmati keseronokan di sini.



Di samping itu, terdapat juga dua pantai, kolam hutan, kolam biru, pendakian air terjun, bola tampar pantai dan aktiviti berkayak.

The Culvert Hotel & Resort



Jika anda sukakan percutian ala-ala di Bali, mungkin ini antara destinasi wajib hadir anda!

Dibuka kepada pengunjung pada 2018 dengan keluasan 3.5 ekar, sebanyak 43 buah penginapan boleh ditempah terdiri daripada dua jenis bilik, iaitu standard room dan suite room.

Setiap bilik mempunyai rekaan berbentuk silinder dengan tandas disertakan, selain dilengkapi dengan keselesaan seperti tablet, Wi-Fi, penyaman udara, peralatan mandian, pancuran mandian dan pengering rambut.





Di samping itu, setiap bilik juga mempunyai kaca lutsinar serta langsir, membolehkan anda menikmati keindahan alam semula jadi hanya daripada bilik!

Tempat ini juga lengkap dengan pantai, dua kolam renang, perpustakaan, gimnasium, dua surau dan sauna yang dikelilingi kehijauan alam semulajadi. Sangat selesa!

3. Kuching



Hari terakhir di Sarawak, kami meneruskan perjalanan ke Kuching. Ia bukan sahaja sebagai ibu kota Sarawak dan pusat pentadbiran kerajaan negeri tetapi juga memiliki pelbagai tempat tinggalan dan peristiwa sejarah.

Borneo Cultures Museum



Setibanya di sini, penulis berasa kagum dengan seni binanya yang amat cantik dan gah. Muzium lima aras ini mempunyai reka bentuk tersendiri mencerminkan kraf tradisional Sarawak dan kekayaan warisan.

Di aras satu, terdapat auditorium dan bilik majlis untuk penganjuran pelbagai acara, serta kemudahan pelawat seperti kaunter pertanyaan, restoran dan kedai hiasan.

Seterusnya di aras dua ialah Galeri Kanak-Kanak dan Galeri Seni dan Kraf. Galeri Kanak-Kanak menyediakan persekitaran pembelajaran interaktif kepada kanak-kanak melalui pameran dan aktiviti bersesuaian.

Manakala Galeri Seni dan Kraf memberi peluang kepada pengunjung mempelajari dan mendalami seni pertukangan tradisional, tarian dan muzik di Sarawak.

Aras tiga ialah galeri terbesar dengan 2,188 meter persegi ruang pameran.

Bertemakan 'In Harmony With Nature', pengunjung dapat meneroka hubungan masyarakat tempatan dengan persekitaran semula jadi berdasarkan perjalanan sungai melalui tiga wilayah geografi utama dengan pengalaman yang mendalam dan pelbagai deria.



Menjejak kaki di aras empat pula ialah Galeri Perubahan Masa yang dengan tumpuan kepada pendidikan yang diliputi dalam kurikulum sejarah. Ia termasuk penemuan dan arkeologi, serta menceritakan sejarah Sarawak bermula dari zaman prasejarah hingga zaman moden.

Akhir sekali, karya agung muzium dipamerkan di aras lima, iaitu Galeri Objek Keinginan. Ia memberi tumpuan kepada objek dengan keindahan artistik artifaknya.

Artifak-artifak ini mempamerkan kemahiran pertukangan, reka bentuk dengan kuasa ketuhanan dan sebagai simbol status.



Muzium ini tidak membosankan kerana kaya dengan sejarah dan penemuan, serta dilengkapi teknologi-teknologi terkini untuk memberikan penceritaan interaktif dan mudah kepada para pengunjung.

Info

Sarawak Delta Geopark merupakan geopark pertama di Sarawak yang diwartakan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan keenam pada Jun 2022.

Berkeluasan 3,112 kilometer persegi melibatkan daerah Kuching, Bau dan Lundu, ia merangkumi beberapa geotapak, tapak budaya dan biotapak seperti Kuching Wetlands National Park yang menjadi habitat kepada paya bakau, monyet Proboscis, buaya dan ikan lumba-lumba Irrawaddy.

Kuching Wetlands National Park juga merupakan antara tujuh tapak di Malaysia yang didaftarkan sebagai Tapak Ramsar dengan perlindungan di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah, sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.