KETIKA ramai yang mengkritik larangan sambutan perayaan Krismas di Brunei, terutamanya masyarakat Barat, seorang lelaki tampil menjelaskan bagaimana isu itu telah diperbesarkan oleh sesetengah pihak tanpa memahami konteks sebenar larangan tersebut.

Melalui akaun Facebook, lelaki bernama Muhammad Harris Nasril, menulis tentang pengalamannya melihat sendiri bagaimana rakyat Brunei yang beragama Kristian menyambut perayaan itu.

Dalam perkongsian itu, Harris berkata larangan yang diwartakan hanya khusus untuk mereka yang beragama Islam, selain larangan meraikan perayaan itu di tempat terbuka bagi mengelakkan ia turut sama diraikan umat Islam.

I heard a news that christmas celebration was banned in Brunei. So I went to the biggest church in Brunei, about 15...

Posted by Muhamad Harris Nasril on

Bukan setakat melihat dari luar, dia yang beragama Islam turut memasuki Church of Our Lady of the Assumption, yang merupakan gereja terbesar di Brunei, bertujuan melihat kesan larangan itu kepada masyarakat Kristian.

Namun daripada pemerhatiannya, sambutan Krismas tetap berjalan seperti biasa, malah kemeriahannya tidak berkurangan. Ritual keagamaan juga dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Harris juga menjelaskan, 67 peratus populasi di Brunei adalah umat Islam, 13 peratus penganut Buddha, 10 peratus Kristian. Selebihnya adalah penganut-penganut pelbagai agama termasuk agama-agama asal.

Tahun lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menguatkuasakan Undang-Undang Islam dan mengharamkan penganut agama Islam meraikan perayaan agama lain di negara itu.