KUALA LUMPUR: Kerajaan sebelum ini mengesyorkan pemberian vaksin Pfizer-BioNTech kepada ibu hamil dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu.

Malah, pilihan hamil dan ibu menyusu turut diwujudkan dalam aplikasi MySejahtera bagi memberi keutamaan vaksin kepada golongan berkenaan.

Namun, platform sudah tersedia, pilihan sudah diwujudkan, adakah ibu hamil masih ragu-ragu atau takut-takut untuk mengambil vaksin?

Diakui bagi sesetengah ibu hamil, bukan sahaja nyawa sendiri yang difikirkan, tetapi juga soal anak dalam kandungan.

Bagi penulis sendiri, pada awalnya, 'perasaan takut' untuk divaksin itu wujud kerana bimbang keselamatan anak dalam kandungan yang ketika ini sudah masuk usia 19 minggu.

Namun, selepas mendapatkan maklumat yang lengkap dan sahih, keberanian mula mengatasi ketakutan.

Saya mengambil langkah awal dengan mendaftar vaksinasi di MySejahtera sejak Mac lalu.

Hari itu, saya mendapat perkhabaran gembira di MySejahtera apabila melihat kemunculan tarikh vaksin saya dalam aplikasi itu.

Tarikh dos pertama vaksin saya adalah pada 9 Jun 2021.

"Minta-mintalah Pfizer," getus hati ini.

Bukan apa, kerajaan ada mengatakan ibu hamil hanya disaran mengambil vaksin Pfizer, dan vaksin lain belum dibuktikan secara klinikal sesuai untuk ibu hamil.


Mula terima vaksin Pfizer 

Maka pada 9 Jun itu, saya terus ke pusat vaksinasi di Dewan Sri Seroja, Putrajaya dan temu janji saya pada jam 12.30 tengah hari.

Terima kasih kepada petugas KKM, agensi penguatkuasa dan sukarelawan terlibat dalam memastikan perjalanan saya mengambil suntikan vaksin berjalan lancar.

Selepas mengesahkan pendaftaran, saya terus ke bahagian konsultasi, dan apabila saya duduk sahaja, saya sudah diberikan kad tertulis Pfizer.

Dalam hati bersyukur, namun banyak juga saya bertanya mengenai pengambilan vaksin oleh ibu hamil kepada pegawai perubatan di situ.

Selepas mendengar penjelasan pegawai perubatan dan ditambah dengan maklumat diperoleh, saya rasa lebih yakin.

Pada jam 12.50 tengah hari, saya disuntik dengan vaksin Pfizer.

Selepas itu saya diarahkan ke dewan pemantauan seperti juga mereka yang lain.

Saya diberikan tarikh untuk dos kedua vaksin iaitu pada 30 Jun ini.

Hanya 30 minit masa yang diperuntukkan untuk proses mendapatkan dos pertama vaksin.




Simptom selepas disuntik dos pertama Pfizer

Alhamdulillah, sejak dari hari pertama saya mendapat suntikan vaksin Pfizer, saya langsung tidak mendapat apa-apa simptom seperti demam atau sakit-sakit sendi.

Sedangkan, saya menjangkakan itu berlaku, namun sebaliknya.

Malah, anak dalam kandungan saya masih aktif seperti selalu.

Maka, kebimbangan saya mengenai persepsi pengambilan vaksin oleh ibu hamil ini sepenuhnya sudah tiada.

Selepas ramai mengetahui saya mengambil vaksin dalam keadaan saya hamil 19 minggu, ada ibu-ibu hamil mula menghubungi saya untuk bertanyakan mengenai apa simptom saya hadapi selepas disuntik vaksin.

Saya nyatakan kepada mereka tentang diri saya yang berkeadaan baik, dan boleh meneruskan tugas saya sebagai wartawan seperti biasa.

Sempat juga saya nasihatkan mereka supaya 'gali' maklumat yang sahih, jangan terpengaruh dengan laporan-laporan yang tidak benar.

Justeru, kepada ibu-ibu hamil jangan takut untuk mengambil vaksin, kerana ia selamat untuk bayi dan ibu.

Menurut pakar, risiko dan komplikasi terhadap ibu hamil adalah lebih tinggi jika mereka dijangkiti virus COVID-19.

Maka, ibu hamil, jangan takut untuk divaksin.

Semua demi keselamatan kita dan orang sekeliling.