Janji tinggal janji, keluarga Ainaa Amanda kesal anak jadi bahan raih publisiti

Madiha Abdullah
Mei 4, 2016 09:25 MYT
Gambar Ainaa juga digunakan dalam poster untuk tujuan promosi pihak berkenaan, namun sehingga kini apa yang dijanjikan belum diterima.Foto/Facebook Ainaa Amanda Shahzali
MASIH ingatkah anda dengan video seorang kanak-kanak perempuan yang mengadu diejek rakan-rakan kerana tidak mempunyai tangan?
Video tersebut viral awal tahun lalu, memaparkan adik Ainaa Amanda Shahzali, mengadu kepada ibunya bagaimana dia diejek rakan-rakan kerana keadaan dirinya, pada hari pertama dia mendaftar di sekolah.
Susulan daripada video tersebut, Ainaa dan keluarganya dijanjikan bantuan oleh beberapa pihak. Ia sekaligus memberikan kanak-kanak comel itu harapan untuk menjalani kehidupan seperti rakan-rakan sebaya.
BACA: Ibu tunggal tabah jaga anak OKU
Namun dalam status yang dimuat naik ke akaun Facebook, keluarga Ainaa mengeluh dengan sikap pihak-pihak terbabit yang didakwa tidak menepati janji.
Ini kerana, janji yang diharapkan dapat dipegang dan dipenuhi, kini hanya tinggal janji.
Dalam status itu, keluarga Ainaa memaklumkan biarpun Ainaa ada menerima tangan mekanikal, namun ia tidak dapat berfungsi sepenuhnya.
Ainaa kemudiannya dijanjikan tangan palsu 3D menggunakan bateri dan diminta ke Ipoh untuk mengambil tangan palsu berkenaan.
Malah gambar Ainaa juga digunakan dalam poster untuk tujuan promosi pihak berkenaan, namun sehingga kini apa yang dijanjikan belum diterima.
Situasi itu membuatkan mereka sekeluarga dalam keadaan serba salah kerana Ainaa sering bertanyakan tentang tangan palsu itu.
Menafikan tujuan mereka untuk meraih simpati, sebaliknya keluarga berkenaan meminta agar pihak-pihak yang terbabit tidak mengambil kesempatan dan hanya menggunakan mereka untuk tujuan publisiti.
#Ainaa Amanda Shahzali #tangan palsu #video #viral