KUALA LUMPUR: Hadiah lumayan hampir RM30,000 bakal menjadi rebutan untuk pemenang Kejohanan Enrich Sports Game yang dijadualkan berlangsung pada 10 Disember ini di Bunga Kemboja Fitness, Seri Kembangan, Selangor.

Acara yang akan berlangsung selama sehari itu akan menjadi festival sukan terbesar yang dibahagikan kepada beberapa kategori dan terbuka kepada semua warganegara dari pelbagai peringkat umur.

Penganjurnya, Krishna Kumar berkata, kejohanan itu akan melibatkan acara seperti Strongest Man, Arm Wrestling, Zumba dan Fitness Challenge serta pertandingan makan burger diet terbanyak dalam masa lima minit dengan menyasarkan seramai 300 peserta.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu merupakan edisi ketiga sebelum terpaksa dihentikan selama tiga tahun gara-gara pandemik Covid-19 pada 2020.

“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membina ruang bagi semua peserta menunjukkan bakat mereka secara individu di dalam sukan yang tersenarai serta menggalakkan lebih ramai bakat baharu untuk mengambil bahagian.

“Pada masa sama, kami mahu mengembangkan bakat bagi peserta yang layak untuk terlibat di dalam penyertaan ke peringkat lebih tinggi untuk mewakili negeri dan negara pada masa akan datang.

“Selain itu, kami juga mahu menggalakkan para belia supaya terlibat dalam aktiviti suka serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan berdisiplin agar dapat mengelakkan diri daripada teribat atau terdedah kepada aktiviti yang tidak sihat dari segi mehtal dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kejohanan Enrich Sports Game merupakan anjuran kerjasama antara Kelab Bina Badan Enrich (KBBE) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mengulas lanjut, Kumar memberitahu, kejohanan itu berhasrat menarik perhatian masyarakat untuk mengetahui tentang sukan bina badan serta menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta untuk memberi sokongan penuh kepada sukan yang kurang mendapat perhatian.

Katanya, penglibatan peserta dalam acara sukan seperti Strongest Man, Arm Wrestling Zurmba dan Fitness Challenge diharap dapat membuka peluang bagi mereka untuk menjadi duta syarikat produk kecergasan pada masa akan datang.

Ujar beliau, kejohanan ini juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa tentang kepentingan bersenam demi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan kekal cergas.

“Program ini juga akan memberi pendedahan kepada pengunjung berkenaan disiplin-disiplin yang diterapkan oleh peserta ketika bertanding yang memerlukan penekanan dari segi fizikal dan juga mental yang betul

“Justeru, penglibatan bersama kerajaan menunjukkan usaha positif agar dapat melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan di samping mendidik setiap lapísan masyarakat terutamanya generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup sihat dan lebih proaktif,” katanya.

Sementara itu, yuran penyertaan bagi Kejohanan Enrich Sports Game adalah RM25 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.