Majoriti pembaca AstroAwani.com membuktikan bahawa mereka tidak begitu berminat dalam menggunakan kupon diskaun untuk membeli barangan.

Menerusi satu undian yang dijalankan di laman web ini, 229 orang (67.7%) daripada 416 yang turut serta berkata mereka tidak percaya pada kupon digital kerana ia tidak memberi apa-apa penjimatan atau manfaat.

Manakala hampir 32.9% iaitu 137 berkata mereka percaya pada kupon diskaun digital kerana mereka benar mendapat penjimatan dari penggunaannya.

pie

Sebelum ini, pedagang elektronik, iprice merumuskan bahawa masyarakat di Asia lebih tertarik dengan budaya ‘bargain’ kerana ia lebih realistik daripada penggunaan kupon diskaun.

Tetapi tahukah anda bahawa kupon digital sebenarnya boleh menjimatkan perbelanjaan anda?

- Kupon digital bukan satu penipuan dan boleh menjimatkan perbelanjaan -

Tidak perlu ragu-ragu dengan kenyataan ini, kerana kupon digital boleh menjimatkan perbelanjaan anda.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh pedagang elektornik, iprice, secara purata, penggunanya boleh berjimat 25 peratus dengan penggunaan kupon diskaun.

Kebanyakan pengguna berpendapat bahawa kupon digital ditawarkan oleh peruncit elektronik untuk mengaut keuntungan.

Memang benar mereka mengaut keuntungan, tetapi ia bukan menerusi potongan harga seperti yang dipercayai kebanyakan pembeli.

Secara amnya, pedagang elektronik menawar kupon diskaun untuk mengekalkan pembeli setianya yang merupakan penyumbang utama keuntungan mereka.

Kadang-kadang ia juga digunakan untuk menarik lebih ramai pembeli baru untuk jangka masa yang panjang.

Sebagi contoh: kupon MYTEKSI yang sering menawarkan 40%-50% diskaun untuk tiga perjalanan pertama adalah satu cara untuk menarik perhatian pengguna baru.

Walaupun mereka kehilangan 40-50% keuntungan tetapi mereka percaya dengan tiga perjalanan ini, mereka mampu memberi perkhidmatan yang baik dan mesra untuk mengekalkan penumpang baru itu sebagai pengguna setia MYTEKSI.

Jadi, kupon digital tidak boleh dianggap satu penipuan kerana ia sememangnya membawa keuntungan kepada e-pedagang tetapi keuntungan itu adalah untuk jangka masa yang panjang.