Kerintangan antibiotik di negara ini di tahap membimbangkan akibat kekerapan penggunaan dan penyalahgunaan jenis ubat itu secara meluas dalam sektor kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata jika keadaan itu berterusan, ia akan menyebabkan jangkitan penyakit sukar diubati serta meningkatkan risiko penyebaran penyakit kepada orang lain.

Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik hilang keupayaan untuk membunuh bakteria.

Hilmi berkata, statistik menunjukkan kerintangan antibiotik di Malaysia meningkat dan kajian terhadap superbug baru menunjukkan bilangan jangkitan meningkat daripada 150 kes pada 2013 kepada 181 kes pada 2014.

Menurutnya, kadar kematian juga bertambah daripada 25 peratus pada 2013 kepada 37 peratus pada tahun lalu.

“Ini satu perkara yang tidak patut berlaku kerana ramai antara pengamal perubatan kita yang lebih suka memberi antibiotik. Kadang-kadang mereka beri kerana pesakit hendak antibiotik.

“Yang kedua bila doktor bagi preskripsi, pesakit ini tidak ikut peraturan makan antibiotik. Contohnya, doktor bagi untuk lima hari tetapi (pesakit) makan untuk tiga hari sahaja. Dengan cara itu juga boleh menyebabkan kerintangan kepada antibiotik,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap pengambilan antibiotik dan sering bertanya kepada doktor mengenai keperluan antibiotik bagi merawat penyakit yang mereka alami.


Hilmi berkata demikian selepas melancarkan kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Peringkat Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.

Kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat awam dan golongan profesional kesihatan tentang kepentingan penggunaan antibiotik secara wajar.