Kisah Anuar 'Si Pemikat Burung', raih pendapatan melalui hobi

Setiap burung pikat ini direkodkan prestasi mereka, lagi banyak burung yang berjaya diperangkap, lagi tinggi harganya sekiranya ada yang ingin membeli.

Anuar sedang menghias jebak (perangkap) menjadi seolah dahan pokok supaya dapat memperdaya burung lain | Astro Awani
BAGAIMANA seseekor burung ditangkap? Adakah dengan hanya menggunakan perangkap?

Sebenarnya, banyak cara untuk menangkap burung ini antaranya dengan melakukan proses 'memikat'.

Kali ini #SantaiHujungMinggu Astro AWANI ingin berkongsi kisah tentang 'Anuar si pemikat burung'.

Saya berkesempatan untuk ke Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini berjumpa dengan orang yang mahir dalam menjalankan proses memikat burung ini.

Perkara pertama yang dibuat Anuar adalah menukar pakaiannya kepada celoreng hijau.



Katanya, tujuan utama adalah untuk memastikan burung tidak berasa seperti habitatnya diceroboh atau rasa terancam apabila didekati.

Kemudian saya dibawa ke kawasan kelapa sawit di sebelah rumahnya, dan di situlah proses memikat burung bermula.



Jadi apa peralatan yang diperlukan untuk memikat burung?

Pertama, untuk memikat burung ini mestilah perlukan 'burung pikat' yang kebanyakannya adalah dari jenis burung merbuk.

Burung ini pula bukan calang-calang, ia dilatih selama dua tahun sebelum ia memiliki 'keupayaan' memikat burung lain hingga terjerat.

Proses latihan pula antara lain untuk memastikan burung ini mampu menghasilkan bunyi yang kuat dan nyaring hingga boleh menarik perhatian burung lain ke situ.

Selepas itu, burung pemikat ini diletakkan dalam sangkar dan dijadikan 'umpan' untuk memanggil burung lain hinggap berdekatan dengannya.

Maka tidak hairanlah jika burung pikat ini sendiri mempunyai 'nilai pasaran' yang tinggi jika dijual kerana kebolehannya 'menggoda' kunjungan unggas-unggas lain.



Apabila sudah berada dekat dengan burung pikat, burung ini akan terperangkap dengan jebak atau perangkap yang sudah dipasangkan jaring.

Jelas Anuar, kebanyakan burung yang ditangkap ini adalah dari spesies yang jarang ditemui.

Bagi pencinta burung, ada yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkan spesies burung berkenaan.

Anuar juga mengatakan, dia mempunyai beberapa jebak yang di dalam setiap satunya menempatkan seekor burung.



Setiap burung pikat ini direkodkan prestasi mereka. Lebih banyak burung yang berjaya diperangkap, lebih tinggi harganya sekiranya ada yang ingin membeli.

Namun, aktiviti ini menuntut kesabaran yang tinggi, terutama dalam proses melatih burung pikat untuk melaksanakan 'tugasnya' dengan baik.

Aktiviti sambilan yang dilakukan Anuar ini sedikit sebanyak dapat mengisi masanya, malah dalam situasi yang menyebelahi, mampu menjana pendapatan sampingan.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !