GAYA HIDUP
[KOLUMNIS] Catur Melayu membentuk pemikiran strategik
![[KOLUMNIS] Catur Melayu membentuk pemikiran strategik [KOLUMNIS] Catur Melayu membentuk pemikiran strategik](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/61755240702_tbCaturMelayu.jpg)
Permainan ini sebenarnya amat popular dalam kalangan bangsawan dan golongan cendekiawan terutama sebagai latihan berfikir dan menyusun strategi dalam keadaan damai mahupun peperangan. - Foto: Yayasan Warisan Johor
CATUR Melayu merupakan permainan warisan yang mencerminkan kecerdikan, budaya dan nilai tempatan masyarakat Melayu. Namun peredaran masa dan pengaruh catur moden menyebabkan catur Melayu semakin dilupakan dan kurang dikenali khususnya dalam kalangan generasi muda.
Terdapat sekurang-kurangnya 16 jenis catur Melayu termasuklah catur perang, catur Jawa, catur raja, catur harimau dan catur gajah (Hasanuddin Yusof, 2025).
Dalam sejarah tamadun manusia, permainan strategi seperti catur bukan sekadar hiburan malah berperanan sebagai latihan minda dan simbol kebijaksanaan. Di rantau Nusantara khususnya di Tanah Melayu wujud satu versi catur tempatan yang dikenali sebagai catur Melayu.
Permainan catur mula dikesan di Mesir dan Yunani (Greek) sejak ribuan tahun dahulu. Kemudian diperkenalkan di India semasa era Alexander the Great. Orang-orang India kuno kemudian mengubah suai permainan ini lalu dinamakan “Chaturanga” (Duncan Forbes, 1860). 
Catur Melayu dipercayai berasal daripada permainan strategi purba seperti Chaturanga, lalu berkembang ke seluruh Asia Tenggara melalui perdagangan, pelayaran dan hubungan diplomatik. Dalam proses pengadaptasian ini masyarakat Melayu telah mengubah suai dan menyesuaikan permainan tersebut mengikut acuan budaya dan bahasa tempatan sehingga menjadikannya lebih dekat dengan jiwa dan cara hidup mereka.
Perhubungan perdagangan yang terjalin antara orang-orang Parsi dan orang-orang India menyebabkan permainan catur mula masyhur di Parsi. Pada abad ketujuh masihi, iaitu semasa zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab orang-orang Arab mula menakluki wilayah-wilayah Parsi sehinggakan Islam tersebar hampir ke seluruh wilayah Parsi. Ramai orang Parsi yang memeluk Islam sehingga sebahagian budaya Parsi diadaptasi dan diamalkan oleh orang-orang Arab termasuklah kehandalan bermain catur menjadi sebahagian daripada budaya mereka.
Orang Arab menyebutnya sebagai Shantraj, iaitu mengambil daripada sebutan Parsi Chatrang. Perubahan nama catur ini disebabkan sebutan lidah bangsa Arab yang tidak boleh menyebut huruf ‘ch’ dan ‘ng’.

Catatan orientalis R.J. Wilkinson menunjukkan bahawa permainan ini pernah dimainkan secara meluas di Tanah Melayu. Wilkinson merupakan pentadbir kolonial British dan sarjana yang berkhidmat di Negeri-Negeri Melayu seawal tahun 1889. Beliau telah menulis mengenai permainan ini dalam karyanya yang bertajuk Life and Customs: Malay Amusements (1925). Beliau membincangkan tentang pelbagai hiburan tradisional masyarakat Melayu termasuk permainan catur yang dikenali sebagai Malay Chess. Beliau membandingkan peraturan catur Melayu dengan catur Inggeris.
Hal ini menunjukkan bahawa permainan ini pernah dimainkan secara meluas di Tanah Melayu. Permainan ini sebenarnya amat popular dalam kalangan bangsawan dan golongan cendekiawan terutama sebagai latihan berfikir dan menyusun strategi dalam keadaan damai mahupun peperangan.
Walaupun begitu tiada bukti menunjukan Wilkinson menggunakan istilah “Satranj Melayu” dalam penulisannya. Istilah ini mungkin merujuk kepada pengaruh permainan catur Arab-Islam (Satranj) terhadap versi tempatan catur di alam Melayu. Terdapat versi khusus yang dikenali sebagai “Satranj Melayu” yang menggabungkan unsur Arab dan India dengan ciri-ciri tempatan.

Permainan catur telah diperkenalkan oleh orang-orang Islam kepada orang-orang Eropah terutama ketika tertubuhnya kerajaan Islam Andalusia, iaitu wilayah kekuasaan meliputi Sepanyol, Portugal dan sebahagian daerah di Perancis pada hari ini.
Perkataan “Shah” yang merujuk kepada buah catur Raja dalam Shantraj (catur Arab) memberi sumbangan kepada kewujudan perkataan Schah, Scacco, Chess, Skak, Check dan Eschecs yang merujuk pada permainan catur. Malah perkataan “Shah Mat” dalam permainan Shantraj yang bermaksud “Raja Mati” menyumbang pada kewujudan istilah Check Mate. Lakaran permainan catur pada dinding Angkor Wat turut menjadi bukti kukuh bahawa permainan catur telah sampai ke Asia Tenggara termasuk alam Melayu sejak dari zaman Hindu-Budha (Hasanuddin Yusof, 2025).
Tun Sri Lanang pula menyatakan bahawa terdapat dua orang yang paling pakar dalam permainan catur di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka ialah Tun Bahara yang berasal dari Pasai dan Tun Pikrama (anak Tun Perak) yang berasal dari Melaka sebagaimana petikan berikut:
Sekali persetua ada seorang, Tun Bahara namanya, orang Pasai, ia datang ke Melaka. Maka Tun Bahara itu pandai terlalu ia bermain catur, tiada siapa menyamai dia pada zaman itu. Maka bercaturlah Tun Bahara itu dengan orang Melaka. Lawannya itu berfikir, ia tiada berfikir, pandang kiri, pandang kanan sambil ia bersyair, dan berbait dan bergurindam, dan berseloka. Serta sudah ia perang, berjalan tiada dengan berfikir lagi, terlalu bangat. Maka segala orang yang tahu-tahu bercatur, semuanya alah olehnya, seorang tiada dapat melawan dia, melainkan Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja; ia juga yang dapat sedikit melawan Tun Bahara itu, tetapi jikalau lalai Tun Pikrama, digelar oleh Tun Bahara itu ‘sayur keladi’, dan jika Tun Bahara membuang sebiji bidak ujung jua pun, alah pula Tun Bahara oleh Tun Pikrama, itulah yang tahu bercatur (Sulatus Salatin; 1979).

Nama-nama buah catur dalam versi catur Melayu atau versi tradisional dikenali dengan nama Melayu klasik seperti Raja (pemimpin utama yang mesti dilindungi), Menteri (penjaga dan penasihat Raja), Gajah (lambang kekuatan kerajaan), Kuda (simbol pergerakan pantas dan pintar), Bidak (kubu pertahanan yang kuat), Askar (tentera barisan hadapan). Penggunaan istilah buah catur ini mencerminkan adaptasi budaya Melayu terhadap permainan catur yang menggambarkan nilai dan simbolisme yang dekat dengan masyarakat tempatan.
Cara pergerakan dalam permainan catur Melayu sedikit berbeza dan tersendiri. Misalnya dalam sesetengah variasi buah gajah bergerak seperti dalam permainan Satranj, iaitu secara menyerong dua petak sahaja, tidak seperti dalam catur moden.
Permulaan permainan dalam catur Melayu dimulakan dengan salam atau pantun sebagai pembuka bicara. Hal tersebut menunjukkan elemen kesopanan dan nilai adab dalam permainan. Hal ini merupakan sesuatu yang unik berbanding versi antarabangsa yang lebih formal. Terdapat pengaruh sastera dan budaya dalam permainan ini apabila pemain catur Melayu mempunyai kemahiran berpantun.
Kadang kala pemain akan berpantun sepanjang permainan berlangsung sebagai hiburan atau sindiran halus terhadap lawan (Zulfadli Md. Maarof, 2022). Ini menjadikan catur Melayu bukan sahaja permainan berstrategi tetapi juga medan mempamerkan kebijaksanaan berbahasa.

Catur Melayu mencerminkan nilai-nilai penting dalam budaya Melayu seperti bijaksana, sabar, berstrategi dan hormat kepada lawan. Malah permainan ini dianggap sebagai latihan kepimpinan yang mengajar seseorang untuk membuat keputusan, membaca pergerakan musuh dan mengorbankan kemenangan yang lebih besar.
Dalam konteks pendidikan tradisional, catur menjadi alat mengasah akal dan ilmu, terutamanya dalam kalangan anak-anak bangsawan. Catur Melayu memperkukuh kemahiran berfikir secara kritis dan membuat keputusan dalam situasi yang memberi tekanan. Inilah kemahiran yang penting dalam dunia realiti sebenar.
Terdapat usaha daripada pengkaji sejarah, penggiat seni budaya dan pencinta warisan untuk mendokumentasikan kembali peraturan permainan catur Melayu ini dengan mencipta semula set catur klasik dan memperkenalkannya semula kepada masyarakat. Dr. Mohd. Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam merupakan pengkaji dan penyelidik yang gigih berusaha mengembalikan semula kegemilangan catur Melayu.
Selain menerbitkan buku tentang catur Melayu, beliau juga mencipta set papan catur Melayu yang mampu milik dan mesra pemain. Pujian harus diberikan kepada pihak Yayasan Warisan Johor yang berusaha mengangkat permainan catur Melayu kembali popular dalam kalangan masyarakat dengan mengadakan pameran catur Melayu dari 24 Mei hingga Ogos 2025 di Galeri Dato’ Onn, Batu Pahat, Johor.

Permainan ini wajar bermula di peringkat sekolah sebagai aktiviti kokurikulum dengan matlamat mendekatkan anak-anak dengan sejarah dan nilai tempatan. Dalam era digital satu bentuk pemuliharaan yang penting ialah pendigitalan catur Melayu.
Jika permainan ini dapat dijadikan aplikasi atau permainan video ringkas dengan ilustrasi menarik ia berpotensi menarik minat dan perhatian generasi muda yang lebih mesra teknologi. Hal ini juga membuka ruang untuk pertandingan dalam talian, penyertaan antarabangsa dan pembangunan identiti budaya melalui medium moden.
Catur Melayu lebih daripada sekadar permainan. Ia adalah lambang pemikiran, adab dan kecerdikan masyarakat Melayu yang kaya dengan nilai dan sejarah. Dalam dunia yang semakin pantas bergerak ke arah globalisasi kita tidak boleh membiarkan warisan sebegini luput begitu sahaja.
Dengan usaha yang kolektif, kesedaran budaya dan inovasi moden, catur Melayu mampu dihidupkan semula bukan hanya sebagai nostalgia masa lalu tetapi sebagai sumber kebanggaan dan identiti bangsa untuk masa depan. Biarlah catur Melayu terus menjadi satu cabang kecil daripada legasi agung itu.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan/atau bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami