LIFESTYLE
[KOLUMNIS] Citra sirah dan warisan di Galeri Aura Islam
![[KOLUMNIS] Citra sirah dan warisan di Galeri Aura Islam [KOLUMNIS] Citra sirah dan warisan di Galeri Aura Islam](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/41746765998_sirahjohor.jpg)
Kini lebih 300 artifak bersejarah disimpan, dipelihara dan dipamerkan di Galeri Aura Islam semenjak tahun 2019 dan telah mendapat perhatian kerajaan negeri Johor untuk mengimarahkannya sebagai produk pelancongan. - Astro AWANI
GALERI Aura Islam bukan sekadar ruang pameran biasa. Galeri yang diasaskan oleh Datuk Anuar Hassan telah beroperasi semenjak tahun 2019 di Iskandar Puteri, Johor.
Galeri ini umpama wadah rohani dan intelektual yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan agung tamadun dan peradaban Islam melalui dua cabang penting iaitu sirah dan seni warisan Islam.
Kedudukannya di tengah-tengah kota yang pesat membangun menjadikan galeri ini sebagai tempat yang mempertemukan sejarah dan seni Islam dalam satu kesatuan yang mengagumkan.
Sirah Islam khususnya yang mengisahkan tentang keperibadian dan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi nadi utama di dalam ruang galeri. Kain kiswah yang menyelimuti kaabah pada awal pembinaanya telah menjadi daya tarikan utama di galeri ini. Kiswah yang bersulam benang emas asli dengan material yang tahan lasak menunjukan betapa khazanah Islam itu bernilai tinggi dan bersifat unggul.Artifak asli dari pelbagai zaman kegemilangan empayar Islam terutamanya pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah juga dipamerkan bagi menghidupkan kembali detik-detik penting dalam takwim sejarah Islam.

Kemunculan kuasa Islam dalam siri penaklukan Eropah Tenggara, Asia Barat dan Afika Utara oleh kerajaan Turki sedikit sebanyak memberi inspirasi dan kesedaran kepada para pengunjung betapa Islam itu lebih kehadapan sebelum kemunculan kuasa Barat.
Artifak yang berkaitan dengan peristiwa hijrah, perang Badar dan perjanjian Hudaibiyah tidak ketinggalan dalam menelusuri citra sirah kenabian Rasulallah SAW. Setiap pameran disusun secara kronologi agar pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan perkembangan Islam malah memahami strategi, nilai dan hikmah yang terkandung dalam perjalanan tersebut. Informasi yang dipaparkan tidak bersifat kaku malah dirangka secara interaktif yang membolehkan pelawat merasai pengalaman sirah secara imersif.
Keberkesanan pameran artifak tersebut memberi gambaran yang lebih realistik kepada pengunjung tentang suasana kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama Islam. Aspek pendidikan dalam sirah juga menggambarkan betapa baginda Rasulullah SAW mendidik para sahabat melalui qudwah hasanah, penyantunan akhlak serta pendekatan berhemah dalam menyampaikan wahyu dan dakwah.
Para pengunjung disajikan dengan senjata-senjata yang pernah digunakan dalam beberapa siri peperangan pada zaman Rasulallah SAW dan para sahabat seperti pedang yang digunakan oleh Khalid al-Walid, iaitu panglima perang yang direkodkan tidak pernah tewas dalam peperangan.

Lebih menarik perhatian apabila artifak peribadi junjungan agung Rasulallah SAW seperti serban nabi, helaian rambut dan janggut nabi, capal dan cemeti nabi, busur dan panah nabi turut dipamerkan di sini. Amat benarlah bagai dikata, bahawa keperibadian dan kemuliaan nabi Muhammad SAW terlalu dekat dengan umatnya walaupun umat selepas kewafatan baginda tidak pernah bersua muka dengan baginda. Aura kenabian amat menyentuh nubari tatkala artifak peribadi Rasulallah SAW ditatapi dengan sepenuh hati. Penerangan oleh petugas galeri yang berpengalaman dan berilmu sedikit sebanyak membantu memberi pencerahan terhadap sirah kenabian baginda.
Beberapa naskhah al-Quran lama yang unik dan bertulisan tangan yang diperoleh dari Aceh juga dipamerkan di sini sebagai informasi bahawa mukjizat Rasulallah SAW tidak pernah pudar ditelan zaman. Al-Quran menjadi naskhah yang mesti dibaca, dihayati dan diamalkan isinya oleh setiap umat Islam sebagai senjata dan pendinding semula jadi. Ini membuktikan bahawa warisan Islam terus hidup, berkembang dan mampu diperluas mengikut peredaran zaman.
Artifak perubatan Islam dan peralatan astronomi dan pelayaran pada zaman ilmuwan Islam terkenal, iaitu Ibu Battuta dan Ibnu Sina turut menjana minda. Selain mengangkat warisan cendekiawan umat Islam dalam bidang-bidang tertentu ia juga secara tidak langsung telah mencerminkan betapa kebijaksanaan umat Islam itu wujud lebih awal dalam kepakaran ilmu sains dan teknologi sebelum kemunculan Albert Einstein dan Isaac Newton.
Kegemilangan Islam yang diterajui oleh Ibnu Battuta telah bermula seawal tahun 1304-1369 manakala menurut rekod sejarah dunia Albert Einstein muncul sekitar tahun 1879-1955 (Ross E. Dunn, 2014). Hal ini telah membentuk dakwah yang halus namun berkesan dan terkesan kepada umat Islam dalam merentasi sempadan pemikiran.
Menelusuri Galeri Aura Islam bukan hanya satu lawatan fizikal tetapi sebuah perjalanan jiwa yang menyedarkan kita bahawa Islam bukan sekadar agama ibadah semata-mata tetapi satu peradaban yang sarat dengan sejarah perjuangan dan keindahan citra seni Islami. Galeri ini harus terus dipelihara dan diperkasa agar generasi kini dan akan datang dapat mengabadikan keagungan sirah serta kehalusan warisan Islam sebagai sumber inspirasi kehidupan.

Ketinggian akal dan budi Datuk Anuar Hassan sebagai tunggak utama pelopor Galeri Aura Islam ini wajar dihargai dan dipuji kerana inilah satu-satunya galeri yang mempamerkan artifak dan bahan arkeologi Islam di benua Asia bermula pada era tamadun Islam terdahulu termasuklah pada zaman empayar Turki Uthmaniyah, empayar Mongol, zaman kegemilangan Rasulallah SAW dan Khalifah ar-Rasyidin.
Beliau giat mengumpul artifak Islam dari serata dunia semenjak tahun 2006 dengan jaringan rakan sinergi di negara-negara Islam seluruh dunia. Terdapat khazanah warisan Islam yang dibeli sendiri dan tidak kurang juga yang dihadiahi dan ditaja oleh pihak-pihak tertentu.
Anak jati kelahiran Johor ini telah melaksanakan jerayawara pameran artifak sirah dan warisan seni Islam di Thailand, Kanada, Singapura dan Indonesia selain di Malaysia sendiri sebelum memutuskan untuk menubuhkan Galeri Aura Islam di Iskandar Puteri.
Kini lebih 300 artifak bersejarah disimpan, dipelihara dan dipamerkan di Galeri Aura Islam semenjak tahun 2019 dan telah mendapat perhatian kerajaan negeri Johor untuk mengimarahkannya sebagai produk pelancongan yang Islamik dan ikonik.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami