Makan bukan hanya tentang lapar dan kenyang. Tetapi, makanan mempunyai sistem tersendiri yang perlu diketahui segala implikasi.
Makanan bukan sahaja penentu kesihatan dan kesakitan individu, tetapi jadi penentu kepada kesihatan dan kesakitan bumi.
Sistem makanan secara asasnya mempunyai empat elemen utama:
1) Pengeluaran
2) Pemprosesan
3) Pengagihan
4) Penggunaan
Kesemua elemen ini berkait rapat dengan perubahan iklim global kerana sumbangannya yang signifikan kepada pelepasan gas rumah hijau, penggunaan air dan sumber asli.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sistem makanan global hari ini masih lagi gagal menyampaikan makanan yang cukup nutrisi dan cukup lestari untuk semua penduduk bumi. Ironinya, bagaimana masalah obesiti menjadi semakin tinggi ketika krisis kekurangan zat makanan masih tiada solusi?
Di Malaysia, isu pembuangan sisa makanan menjadi isu yang kritikal. Sebahagian besar sisa pepejal yang dibuang ialah makanan.
Keadaan menjadi lebih kronik apabila menjelang bulan suci Islam - Ramadan dan Syawal - akan dicemari dengan sisa makanan yang melimpah-ruah.
Senario ini tidak boleh terus dibiarkan, kerana akan memberikan impak negatif yang besar kepada diri, komuniti, negara dan dunia.
INTERAKSI PERUBAHAN PEMAKANAN DENGAN PERUBAHAN IKLIM
Ramai tidak menyedari bahawa makanan memberikan impak yang amat imperatif terhadap iklim.
Sebenarnya, sistem makanan adalah penyumbang yang vital kepada perubahan iklim global. Dari aktiviti bertani sehinggalah ke aktiviti kulinari, semuanya menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dan memberi implikasi negatif terhadap biodiversiti.
Perubahan corak pemakanan manusia merupakan faktor penting kepada perubahan iklim global. Pada abad yang lalu, manusia lebih cenderung untuk mengamalkan corak pemakanan secara tradisional yang kebanyakannya bersifat organik dan semulajadi.
Kini, peralihan corak pemakanan modern yang berasaskan makanan terproses dan perubahan budaya kulinari telah memberi kesan yang ketara ke atas tahap pelepasan gas rumah hijau.
Peningkatan perdagangan antarabangsa dan unjuran kepadatan populasi juga berpotensi meningkatkan lagi implikasi negatif terhadap iklim disebabkan oleh peningkatan pengeluaran makanan.
Malah, impak perubahan iklim pula akan menambahkan lagi tekanan dan menjadi cabaran baharu dalam penghasilan makanan yang sihat dan pengeluaran makanan mencukupi untuk seluruh penduduk bumi.
Walaupun kemajuan teknologi boleh memainkan peranan penting dalam menangani cabaran ini - misalnya, dengan teknologi terkini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tanah pertanian dan penternakan - namun, kesedaran orang ramai adalah strategi yang paling efektif untuk jangka masa panjang dan paling efisien dari segi kos menerusi kempen diet lestari .
Justeru, terdapat pelbagai inisiatif telah diperkenalkan di peringkat global untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang peri pentingnya konsep diet lestari untuk kesihatan diri dan kesihatan bumi.
Jika diperhalusi konsep diet lestari tersebut, sebenarnya sangat sinonim dengan amalan berpuasa. Malah, amalan berpuasa bukan sahaja dapat merawat diri dari obesiti, tapi dapat merawat bumi.
RAMADAN SINONIM PEMBAZIRAN?
Ramadan adalah bulan keberkatan dan keberkatan itu pula terdapat juga dalam makanan. Setiap kali kita hendak makan, kita akan berdoa; “Ya Allah, berkatilah rezeki kami”.
Tetapi selepas makan, rezeki yang diberkati itu dibuang ke singki. Jika diamati hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W, baginda menggalakkan umatnya menjilat jari dan juga mengutip makanan bersih yang terjatuh kerana kita tidak tahu yang manakah ada keberkatan.
Selain itu, sunnah ini selaras dengan inisiatif sisa makanan sifar.
Antara hikmah bulan Ramadan ini adalah supaya umat Islam dapat menghayati kehidupan faqir miskin yang sering mengalami ketidakcukupan bekalan makanan.
Ironinya, setiap kali menjelang bulan Ramadan, pembuangan sisa makanan akan berlaku peningkatan. Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kajiannya mendapati bahawa sisa makanan akan meningkat 20 peratus pada bulan tersebut dan pola peningkatan itu berlaku saban tahun dan tidak berubah.
Manakala menurut KDEB Waste Management (KDEBWM), sisa makanan di bazar Ramadan Selangor pada tahun ini meningkat sehingga 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Apa yang berlaku ini ternyata tidak selaras dengan maqasid atau matlamat pensyariatan puasa di bulan Ramadan.
Allah memerintahkan umat Islam berpuasa untuk menghambakan diri kepadaNya bukan mengikut perbuatan syaitan.
Bukanlah Ramadan itu sinonimnya pembaziran tetapi pembaziran itulah sinonim syaitan.
Justeru, kita perlu kembali kepada tujuan berpuasa di bulan Ramadan iaitu untuk mencapai ketakwaan.
Malah, hakikat Ramadan ini sinonim dengan keampunan.
Kita perlu berusaha memohon ampun kepada Tuhan atas perbuatan yang mencemarkan hati, diri dan bumi serta mencemarkan bulan yang suci.
MITIGASI IKLIM MENERUSI IKHTIAR EKO-IFTAR
Pelbagai ikhtiar boleh diusahakan di bulan Ramadan ini untuk berbakti kepada bumi. Melalui amalan berbuka puasa atau iftar misalnya, boleh dilakukan secara lestari atau boleh dipanggil sebagai ikhtiar eko-iftar. Ikhtiar ini boleh diklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu, sebelum, semasa dan selepas iftar.
Sebelum:
1. Masak Sendiri
2. Utama Bahan Lokal
3. Kawal Kuantiti
4. Diet Lestari
5. Rancang Belanja
Semasa:
1. Amal Sunnah
2. Kongsi Makanan
3. Bawa Beg Beli-Belah
4. Bawa Mangkuk Tingkat
5. Nasihat Berjimat
Selepas:
1. Syukur Rezeki
2. Elak Bazir
3. Sedekah Juadah
4. Kompos Sisa
5. Muhasabah Diri
Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan. Namun, ini adalah usaha asas untuk dimulakan dan disegerakan.
Semoga ikhtiar ini juga dapat menggandakan pahala amalan kita kerana memelihara bumi juga adalah ibadat dan tanggungjawab kita sebagai khalifah yang diamanahkan menjaga bumi termasuklah usaha mitigasi iklim.
* Dr. Mohd Istajib Mokhtar Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Program Sarjana Sains Kelestarian, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected].
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.