GAYA HIDUP
[KOLUMNIS] Kain benang Johor warisan tekstil bernilai tinggi
![[KOLUMNIS] Kain benang Johor warisan tekstil bernilai tinggi [KOLUMNIS] Kain benang Johor warisan tekstil bernilai tinggi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/61751890836_YayasanWarisanJoho.jpg)
Kain benang Johor dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Kesultanan Johor Lama dan pada awalnya ia digunakan oleh golongan bangsawan serta kerabat diraja. - Foto Yayasan Warisan Johor
JOHOR mencipta sejarah terbaharu apabila giat melestarikan industri tekstil negeri dengan mengetengahkan kain benang Johor.
Jika Terengganu sinonim dengan songket Terengganu, Kelantan terkenal dengan batiknya, Melaka pula dengan kebaya nyonya, Johor kini mengangkat kain benang Johor sebagai produk terkini yang berteraskan budaya dan seni busana Melayu.
Kain benang Johor semakin mendapat perhatian dan menjadi identiti negeri Johor.
Kain ini bukan sahaja mencerminkan kehalusan seni tekstil masyarakat Johor malah memperlihatkan nilai budaya, identiti dan warisan yang diwarisi sejak turun-temurun.Meskipun tidak sepopular songket Terengganu atau batik Kelantan, kain benang Johor mempunyai keunikan tersendiri yang wajar dipopularkan dan dipelihara untuk generasi akan datang.
Kain benang Johor dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Kesultanan Johor Lama dan pada awalnya ia digunakan oleh golongan bangsawan serta kerabat diraja sebagai pakaian rasmi atau busana istiadat.
Kain benang Johor yang dahulunya dikenali sebagai kain tenun Muar berasal dari Muar, Johor.

Tenunan ini diperkenalkan pada pertengahan abad ke-18 dan pada asalnya hanya bercorak kosong atau beragi yang dipakai oleh golongan bangsawan (Siti Zainon Ismail, 2017).
Pada ketika itu, kain ini ditenun secara tradisional menggunakan alat tenunan tangan dan benang emas, perak atau sutera.
Nama “benang” merujuk pada bahan asas tenunan yang terdiri daripada benang-benang halus yang disusun dengan teliti untuk menghasilkan motif yang unik dan eksklusif.
Proses pembuatan yang rumit ini menjadikan kain benang bukan sekadar pakaian tetapi karya seni yang bernilai tinggi.
Menurut catatan sejarah, penenunan kain ini bermula dalam kalangan masyarakat Melayu di kawasan Batu Pahat, Muar dan Pontian yang menjadi tempat seni tenunan dipelajari daripada pedagang luar seperti Bugis dan Jawa.
Mereka kemudian menyesuaikan teknik tersebut dengan cita rasa dan budaya tempatan sehingga menghasilkan corak dan motif yang melambangkan citra Johor.
Motif yang terkenal ialah motif bunga kembang semangkuk, bunga tanjung, bunga lada hitam, bunga kenit-renit, bunga melor kembang, dan bunga tampok manggis.

Antara ciri yang membezakan kain benang Johor dengan kain tradisional lain ialah coraknya yang lebih geometrik dan minimalis berbanding corak songket yang sarat dengan hiasan flora dan fauna.
Warna-warna yang digunakan pula lebih lembut, elegan dan sering kali terdapat pada tona pastel atau warna tanah seperti coklat, biru tua, emas cair dan kelabu.
Ini mencerminkan falsafah masyarakat Johor yang menitikberatkan kesederhanaan dalam keindahan.
Benang yang digunakan dalam penghasilan kain ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuk benang kapas, benang sutera dan benang campuran logam seperti emas dan perak untuk memberikan kesan kilauan.
Dalam budaya Melayu tradisional, pemakaian tekstil tertentu seperti kain benang atau kain tenun bukan sahaja untuk menutup tubuh tetapi juga sebagai simbol status sosial, asal usul dan jati diri seseorang.
Dalam konteks Johor, pemakaian kain benang Johor dalam majlis rasmi seperti perkahwinan, istiadat diraja dan sambutan acara negeri merupakan manifestasi budaya yang menunjukkan penghormatan terhadap warisan nenek moyang.
Busana tradisional seperti baju kurung Teluk Belanga dan baju Melayu sering dipadankan dengan kain benang Johor untuk menyerlahkan penampilan pemakainya.

Bagi kaum lelaki, kain benang Johor biasanya digunakan sebagai kain samping manakala bagi kaum wanita ia dijadikan sebagai kain sarung atau selendang.
Dalam istiadat pertabalan dan acara rasmi negeri, para pembesar dan kerabat diraja Johor lebih gemar mengenakan kain benang Johor sebagai simbol status dan penghormatan kepada warisan negeri.
Ini jelas menunjukkan bahawa kain ini bukan sekadar pakaian tetapi juga lambang identiti dan maruah bangsa Johor.
Namun begitu seni tenunan kain benang semakin dilupakan dalam arus pemodenan dan globalisasi masa kini.
Penggunaan mesin moden yang menghasilkan kain dengan lebih cepat dan murah telah menyebabkan permintaan terhadap kain tenunan tradisional merosot.
Generasi muda pula kurang berminat untuk mempelajari kemahiran menenun kerana ia memerlukan masa, ketekunan dan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan.
Kebanyakan penenun hari ini terdiri daripada golongan tua yang mewarisi kemahiran ini daripada nenek moyang mereka.

Tambahan pula, bahan mentah seperti benang berkualiti tinggi sukar diperoleh dan mahal harganya. Hal ini menyebabkan kos pengeluaran kain benang meningkat.
Persaingan dengan produk tekstil import juga memberi tekanan kepada pengusaha tempatan. Jika tiada usaha bersepadu dilakukan, tidak mustahil seni tenunan ini akan pupus dalam masa beberapa dekad akan datang.
Menyedari hakikat ini, pelbagai pihak kini mula memainkan peranan dalam memulihara dan memperkasakan semula kain benang Johor.
Kerajaan negeri Johor, melalui Yayasan Warisan Johor telah melancarkan program latihan yang bertujuan membimbing generasi muda tentang kepentingan warisan ini.
Pusat Kraf Johor juga menyediakan bengkel dan kursus tenunan untuk melatih penenun baru selain menyediakan platform pemasaran untuk memasarkan produk mereka.
Penghasilan kain benang Johor melalui koleksi Qalbu mendapat perhatian kerajaan negeri Johor dan telah dilancarkan dengan rasminya pada 8 Mac 2025 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani.
Ini merupakan inisiatif dan sokongan kerajaan terhadap usaha melestarikan produk tempatan.
Pereka fesyen tempatan seharusnya memainkan peranan penting dalam mengangkat kain benang Johor ke pentas fesyen arus perdana sehingga ke persada antarabangsa.
Dengan menggabungkan elemen moden dalam rekaan busana berasaskan kain benang Johor, mereka mampu menarik minat golongan muda untuk menzahirkan ilham rekaan busana untuk pasaran antarabangsa.
Kolaborasi antara penenun tradisional dan pereka muda ini membuktikan bahawa kain benang Johor mampu bersaing jika diberi nafas baharu tanpa mengorbankan nilai tradisinya.
Media sosial juga telah menjadi alat penting dalam menyebarkan kesedaran tentang keunikan kain benang Johor.
Ramai usahawan muda kini menggunakan platform digital untuk memasarkan produk seumpama ini serta berkongsi ilmu tentang keistimewaan dan proses pembuatannya.
Ini merupakan usaha ke arah menjadikan seni tenunan kain benang Johor lebih dihargai oleh masyarakat moden.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat sama ada individu, institusi kerajaan dan swasta mahupun penggiat seni halus untuk terus memelihara dan memartabatkan kain benang Johor ini agar tidak luput ditelan zaman.
Dengan pendekatan yang holistik dan gabungan usaha konservasi dan inovasi, kain benang Johor pasti mampu kekal relevan dan terus menjadi kebanggaan negara.
* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami