SETIAP kali tiba Aidilfitri, pastinya kita teruja untuk makan pelbagai juadah lazat yang disediakan. Bila takbir bergema, ketupat dan rendang menjadi kegemaran semua.

Ramai daripada kita melihat musim perayaan sebagai masa untuk 'membalas dendam' dan menjamah pelbagai makanan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

Tidak kurang juga yang leka dan tidak mengutamakan aspek kesihatan terutamanya penghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, pedih ulu hati, dan gout.

Penghidap penyakit ini harus sedar wujud kesan sampingan daripada pemakanan yang tidak dijaga semasa musim perayaan.

Kepada penghidap penyakit tersebut, hayati panduan ini untuk Aidilfitri yang bermakna:

1. Kencing Manis atau Diabetes

Untuk Aidilfitri yang bermakna, pastikan anda memakan ubat diabetes seperti yang ditetapkan dan sentiasa pantau paras gula dalam darah melalui alat bacaan darah di rumah. Elak makanan yang mempunyai gula berlebihan yang boleh menyebabkan kadar gula dalam darah anda naik dan tidak terkawal. Antara kesan sampingan paras gula tinggi dan tidak terkawal termasuk obesiti, kerosakan mata, jantung, dan buah pinggang.

2. Darah Tinggi

Pastikan anda bersederhana memakan pelbagai juadah yang mempunyai kandungan garam yang tinggi dan kurangkan makanan yang diproses. Sentiasa pantau bacaan tekanan darah anda sekiranya ada alat bacaan darah tinggi di rumah. Jangan lupa juga untuk mengambil ubat darah tinggi seperti yang telah ditetapkan. Sekiranya tekanan darah anda terlalu tinggi, anda berisiko mendapat serangan jantung dan angin ahmar.

3. Pedih Ulu Hati atau 'Gastritis'

Kurangkan memakan makanan pedas, berminyak, dan minuman berkafein tinggi. Pastikan anda makan pada kadar dan tempoh yang sesuai sepanjang hari kerana pola pemakanan yang tidak tentu boleh menyebabkan asid yang dirembeskan oleh perut menghakis lapisan perut. Ini menyebabkan kesakitan, pendarahan, dan juga perut bocor. Sediakan snek yang berkhasiat seperti biskut serat tinggi dan air kosong jika anda bercadang untuk berziarah di bulan Syawal ini. Ubat-ubatan yang boleh mengurangkan kadar asid dalam perut juga boleh diambil mengikut arahan doktor.

4. Gout

Makanan yang kaya dengan purin seperti daging merah dan organ dalaman, kepah, ikan bilis, sardin dan makarel dalam tin boleh menyebabkan kadar asid urik meningkat sekaligus menyebabkan serangan gout. Serangan gout mengakibatkan kesakitan di kaki dan sendi dan mampu menghancurkan 'mood' raya. Pastikan anda minum air kosong dengan banyak dan makanlah dengan berpada-pada dan turut mengelakkan makanan dengan kandungan gula tinggi di Aidilfitri ini.

Secara amnya, kenali makanan yang boleh mencetus kepada serangan penyakit-penyakit ini dan pastikan anda sentiasa mengambil dan membawa ubat dan tahu di mana untuk mendapatkan bantuan kesihatan jika perlu, jika anda menyambut Aidilfitri di kampung. 

Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor dan pakar kesihatan untuk memastikan Aidilfitri yang berkualiti dan bebas penyakit.

Ingat, Aidilfitri bukanlah pesta makanan tanpa had. Ia adalah masa untuk kita mengeratkan silaturrahim dan memulakan tabiat pemakanan yang baik selepas sebulan berpuasa.

Jaga kesihatan anda dengan berpada-pada dalam pemakanan dan pastikan anda menikmati sambutan ini dengan penuh kegembiraan dan kesejahteraan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri!



* Dr Nabil Mohammad Azmi merupakan Pakar Bedah dan Pensyarah di Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan bertugas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.

** Penulisan ini merupakan pandangan penulis berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.