Komuniti pendaki terkesan dengan pemergian Dr Chin

Astro Awani
Mei 2, 2019 15:03 MYT
Posting terakhir di Facebook Dr Chin ialah pada 21 April, menceritakan mengenai pendakiannya yang kemudiannya berakhir dengan terkandas selama lebih 43 jam sebelum diselamatkan. - Gambar fail
Penggemar aktiviti lasak yang aktif dalam pendakian gunung terkesan dengan berita pemergian Dr Chin Wui Kin yang meninggal dunia di Singapura hari ini.
Dr Chin, 48 tahun, diselamatkan minggu lalu setelah terperangkap lebih 43 jam berhampiran puncak Gunung Annapurna, Nepal.
Di kalangan komuniti pendaki, kematian Dr Chin, seorang pakar bius di Hospital Besar Ng Teng Fong, Singapura, memberikan impak yang cukup hebat.
“Sudah pasti perasaan itu sangat sedih apabila mendapat perkhabaran ini, apatah lagi mengenang mendiang mempunyai semangat juang yang begitu tinggi,” kata Prof Dr Yang Farina Abd Aziz.
BACA: Pendaki warga Malaysia kini kritikal
Beliau sendiri sebelum ini pernah menjejakkan kaki di 'base camp' Annapurna selain berjaya menawan Gunung Kilimanjaro.
“Pendaki atau pengembara sentiasa mengetahui risiko yang mereka hadapi, namun kepuasan ketika berjaya menawan puncak gunung sukar untuk digambarkan.
“Tambahan pula, bagi pendaki yang mempunyai kekuatan dan pengalaman, mereka akan terus bertekad untuk terus mencipta rekod pendakian."
BACA: Pendaki warga Malaysia yang terkandas di Annapurna meninggal dunia
Dr Yang Farina turut mengakui Annapurna adalah antara gunung yang berbahaya di dunia.
“Jumlah mereka yang terkorban di Annapurna lebih tinggi berbanding Everest. Kira-kira 32 peratus terkorban di Annapurna, berbanding 11 peratus di Everest,” tambahnya.
Risiko dan cabaran di Annapurna turut diakui Ahmad Fakhri Abu Samah, pendaki Malaysia yang pernah menakluk Gunung Everest pada 2012.
"Gunung Annapurna adalah salah satu gunung yang melebihi paras ketinggian 8,000 meter dan jika dilihat dari aspek kepayahan pendakian, Gunung Annapurna 1 mempunyai risiko paling tinggi,” katanya ketika ditemu bual Astro Awani baru-baru ini.
Menurut laporan Bernama, Dr Chin dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura (NUH), pada Khamis.
Upacara penghormatan terakhir untuk mendiang dijalankan di sebuah kuil Buddha di Bukit Merah.
#Ahmad Fakhri Abu Samah #Annapurna #bahaya #Bukit Merah #Dr Chin Wui Kin #Everest #gunung #Hospital Universiti Kebangsaan Singapura #meninggal dunia #pendaki #Prof Dr Yang Farina Abd Aziz #risiko #Singapura